Tuesday, June 1, 2010

Salam Perjuangan...Terus Berdoa & Bersungguh Melakukan Perubahan Iman

Bismillahirrahmanirrahiim.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Assalamualaikum WBT.

 Terus berdoa tanpa jemu dan bangkit baiki diri

Pertamanya dan buat selamanya, dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran  ingin bangkit melakukan perubahan diri ke arah yang Allah SWT redhai, tanpa rasa jemu dan lesu, kesyukuran kita panjatkan kepadaNYA yang mendasar di hati lantas kita berazam dan bersungguh untuk membumikannya dalam kehidupan kita...semata - mata mengharapkan redhaNYA. Ayuh sahabat sekalian, para mujahid dan mujahidah agama, terus melangkah dengan himmah / cita-cita yang membara dan iradat / keinginan yang tinggi untuk mendaulat dan menyokong syariat-NYA...insyaAllah.

Sahabat seperjuagan yang dimuliakan Allah SWT...

Hari ini dunia melihat satu peristiwa yang besar berlaku...peristiwa yang telah membuka mata setiap mata yang memandang, peristiwa yang telah menyentuh hati setiap hati yang pernah alpa dan leka dengan kehidupan dunia ini, peristiwa yang telah membuka satu dimensi perubahan, bagi mereka yang mengambil pengajaran - Inilah peristiwanya 'Konvoi Freedom Flotila ( Lifeline for Gaza)'. 

 Sukarelawan dari Malaysia solat hajat sblm berlepas


Kapal-kapal Konvoi - mereka telah diserang




Para pewaris agama yang sentiasa memperbaiki keimanannya...

Ana bukanlah orang yang selayaknya untuk berbicara tentang peristiwa yang berlaku ini, kerana ana pun masih cuba untuk memperbaiki dan meningkatkan  keimanan ana, rasa tersentap dengan teguran daripada Allah SWT, pagi tadi setelah membaca coretan di blog seorang hamba Allah, hati ana meronta untuk terus bangkit melakukan perubahan walaupun terkadang jiwa rasa lemah, tapi sahabat sekalian,.. sekarang bukan masanya lagi untuk kita terus mengeluh dengan masalah, untuk kita rasa lemah dan ingin lari daripada semua orang, untuk rasa tidak layak atau berbagai macam lagi rasa negatif tetapi sekarang adalah masa untuk kita bangkit melakukan arus perubahan, teruslah melangkah dan mencari proses Tarbiyyah Islamiah yang dapat mengikat diri kita untuk terus mendaulat dan menyokong syariat Allah SWT. Inilah tugas kita Hamba Allah dan Khalifah-NYA di muka bumi ini.

Sahabat sekalian, yang mempunyai rasa kehambaan...

Marilah sama-sama kita panjatkan doa yang tidak putus-putus untuk semua saudara kita yang berada dibarisan hadapan bagi menghantar sumbangan bantuan ke GAZA, terus melakukan solah hajat dan mengajak ummat kepada keimanan menuju Allah SWT,..jangan jemu-jemu untuk terus melakukan perubahan diri dan mengajak orang lain sama-sama berada dalam proses Tarbiyah Islamiah.


Bersama-sama ini ana lampirkan 3 buah perkongsian daripada hamba Allah yang mengajak kepada kebaikan.
Moga beroleh manfaat...insyaAllah.

Moga Allah Redha
~alfaqirah ilallah~
mujahidahmuslihah@yahoo.com


PERKONGSIAN 1


By ; http://brohamzah.blogspot.com

Menanti Sebuah Harapan
 
31 Mei 2010, seharian saya menanti dengan penuh debaran setiap berita berkaitan Konvoi Freedom Flotila ( Lifeline for Gaza). Setiap web, serta media maya yang boleh dicapai, akan saya cuba layari untuk mendapatkan maklumat terkini. Bermula minggu lepas , saya dengan begitu penuh berminat mengikuti setiap perkembangan berkaitan LL4G ini tanpa jemu. Sentiasa memberi dokongan padu dan cuba menyebarkan maklumat berkaitan seluasnya.

Bagi saya, konvoi ini membawa satu misi yang sangat jelas, terang, dan nyata. Konvoi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza ini telah mendapat perhatian banyak pihak yang prihatin dan peka akan isu Palestin. Saya ingin mengucapkan syabas kepada badan-badan NGO yang terlibat terutamanya yang menjadi penggerak utama iaitu IHH yang berpusat di Turki. Anda telah mengerakan sesuatu yang hebat. Anda tidak hanya berkata-kata seperti kebanyakan badan-badan kemanusiaan yang ada, seperti Negara-negara atau mana-mana pertubuhan yang hanya mampu mengendangkan semboyan tetapi hakikatnya ia tidak membawa ke mana-mana.

Mereka telah melakukan sesuatu yang luar biasa yang sebelum ini dikatakan mustahil. Alhamdulillah, usaha ini memberi suatu gambaran yang positif kepada perkembangan ketamadunan manusia. Saya melihat, Israel sebenarnya bukannya takut kepada konvoi, mana-mana pimpinan, negara atau desakan suara dunia. Tetapi yang sebenarnya menjadi ketakutan mereka ialah asas yang meggerakan konvoi ini. Semangat keimanan, keyakinan dan jihad mulai menyerap dalam nadi para aktivis kemanusiaan ini. Lihatlah munajat, doa dan pergantungan mereka kepada Allah SWT, terutamanya bagi yang beragama Islam.

Inilah menjadi kegerunan mereka. Sejarah ummat Islam itu, dibangkitkan melalui suatu dasar yang sangat jelas. Ia akan mengerakan seluruh semangat ummat dengan teras yang sangat kukuh, kuat dan teguh. Teras dan dasar inilah yang menjadi igauan mereka.

Kekuatan keimanan kepada Allah SWT secara menyeluruh, pergantungan kepada janji-janji Allah SWT dan syuur cintakan syahid serta jihad menjadi perkara yang mendominasi para aktivitis kematian. Tanpa gementar, takut malah penuh keberaniaan dalam menyatakan pendirian mereka adalah muqadimmah kemenangan Islam.

Apa kesudahan? Kita terus menanti dengan penuh debaran. Dalam waktu terdekat, seharusnya ummat Islam menyatakan pendirian mereka secara terang-terangan terhadap sikap Zionis Israel yang kejam, biadap dan tidak berperikemanusiaan ini. Doa, munajat dan apa jua sumbangan harus kita laksanakan sebagai tanggungjawab kepada umat Islam di Palestin.

Kita menanti sebuah harapan dan keajaiban.

Berikut adalah sumber-sumber yang boleh dicapai untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan Freedom Flotillah LL4G ini

http://haluanpalestin.haluan.org.my/
http://www.lifeline4gaza.org/
http://twitter.com/sahabatalaqsha
http://www.harakahdaily.net/v2
http://www.haluan.org.my/v3/


PERKONGSIAN 2
By ; www.langitilahi.com
Cerpen: Mana Tuhan Kamu?

Cerpen ini saya tulis khas untuk ummah.
Moga-moga manfaatnya besar.
Moga-moga kesannya mendalam.
Agar menyemarakkan api perubahan.
Dan memadamkan gelita kefasadan.
Terimalah. Cerpen: Mana Tuhan Kamu?
Bacalah dengan penuh penghayatan.

Tahun 837. Kota Amoria, Romawi. Seorang muslimah berjalan dengan tenang di tengah pasar. Membeli barangan untuk tuan yang memilikinya. Dia merupakan hamba tawanan perang dan telah dijual. Kini meneruskan hidup menjadi hamba sahaya menguruskan hal ehwal rumah tuannya.
Tanpa dia sedari, ada mata-mata memerhatikan gerak langkahnya. Peribadinya yang berbeza membuatkan dia menjadi tarikan. Rambut tidak terdedah dilitupi kain penuh beradab, pakaian labuh tidak menonjol bentuk tubuh, dia nyata adalah yang ganjil di tengah pasar Kota Amoria.
“Aku kira, hari ini adalah harinya. Sudah lama aku menahan rasa” Bicara seorang pekedai kepada temannya dengan mata penuh dendam kepada muslimah itu.
“Ya. Mari. Sudah berminggu-minggu aku perhatikannya. Tersirap darah aku saban kali melihatnya” Rakan pekedai itu mengepal kedua belah penumbuk.
“Kita tidak perlu takut. Amoria adalah tanah kita. Semua di pasar ini akan menyokong kita!” Pekedai itu bergerak. Rakannya membuntuti.
Semakin lama semakin mendekat. Muslimah itu tidak menyedari, melainkan apabila telinganya menangkap seruan dari belakang.
“Wahai perempuan!” Segera muslimah itu berpaling untuk melihat. Tetapi terkejutnya dia apabila kedua tangannya pantas ditangkap.
“Lepaskan, lepaskan!” Perempuan itu didorong ke dinding berdekatan. Suasana pasar yang memang riuh menjadi semakin hangat apabila keadaan ini berlaku.
Si Pekedai mengikat kedua belah tangan Muslimah pada palang kedai berdekatan.
“Jangan apa-apakan aku!” Muslimah itu menjerit sayu. Mata-mata di pasar sekadar memandangnya kaku. Semua diam seperti batu.
“Hari ini, siapakah yang akan menyelamatkan kamu?” Pekedai itu menjerit diiringi ketawa berdekah-dekah. Tangannya bergerak pantas melucutkan kain yang melitupi kepala sang muslimah. Terserlahlah rambut panjang melepasi bahu yang perang. Warna rambut asli perempuan dari mediterranean.
“Jangan, jangan!” Air mata perempuan itu mengalir deras. Tiada yang membantu. Semua hanya melihat.
Rakan kepada pekedai bertindak dengan lebih jauh. Menyelak kain yang menutupi bahagian bawah pinggang perempuan itu dan mengoyakkannya.
“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Dia menjerit kuat.
“Lihat semua, inilah dia orang Islam yang hina. Percaya kepada yang tiada. Percaya kepada yang tidak berguna!” Pekedai tadi memandang sekeliling.
Air mata perempuan itu kabur dengan titisan air mata. Maruahnya diinjak sedemikian rupa. Dari kaburan matanya itu, dia menyangka bahawa keadaannya mendapat simpati manusia di sekelilingnya. Tetapi, tidak lama selepas jeritan lelaki itu, satu pasar mentertawakan keadaannya. Bahkan ada yang membalingnya dengan tomato.
“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Seluruh pasar menjerit menghinanya.
Hatinya remuk.Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu ini menghinaMu…
Maka dengan kekuatannya yang masih bersisa, dia menjerit sekuat jiwanya.
“Waa Mu’tasimah. Waa Mu’tasimah. (Di mana kamu Al-Mu’tasim? Di mana kamu Al-Mu’tasim?)!”
Dan jeritannya disambut hinaan dan ejekan.
Namun dalam lautan manusia berhati syaitan itu, ada sepasang mata yang memerhatikan. Segera pemilik mata itu bergerak meninggalkan tempat itu. Berjalan mendapatkan tunggangannya. Kemudian bergerak pantas keluar dari Kota Amoria, menuju ke satu tempat bernama Samarrah. Tempat bersemayamnya manusia bernama Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun Ar-Rasyid.
Atau lebih dikenali sebagai Khalifah Al-Mu’tasim.
****
Semboyan perang dibunyikan tanda peperangan telah berakhir. Kota Amoria tewas teruk. 30,000 perajurit romawi terbunuh, manakala 30,000 lagi ditawan oleh tentera dari Abbasiyah.
Tiba-tiba gendang berbunyi. Bendera kebesaran dikibar. Tentera-tentera berbaris kemas. Derapan kuda kedengaran gagah. Sepasukan tentera berkuda bergerak di tengah-tengah barisan. Mengiringi satu figur yang berpakaian sederhana bersama kuda berzirahnya.
“Di manakah muslimah yang memanggil aku?” Figur itu melaung dengan kuat.
Suasana menjadi sunyi seketika. Hanya diisi dengan bunyi deru angin dan api yang masih membakar beberapa bahagian daripada benteng pertahanan.
Tidak lama kemudian terdengar satu suara.
“Aku wahai Khalifah. Aku” Seorang perempuan bergerak menundukkan diri menghadapnya.
Figur itu turun. Bergerak mendekati muslimah itu.
“Wahai perempuan, apakah aku telah memenuhi seruan kamu?” Lelaki itu bertanya.
Dengan air mata yang mengalir, perempuan itu mengangguk berkali-kali. “Ya Amirul Mukminin, ya. Kau telah memenuhi seruanku”
Amirul Mukminin Al-Mu’tasim tersenyum.
“Apakah yang menghinamu itu ada dari kalangan mereka ini?” Al-Mu’tasim menunjuk kepada tawanan perang dari kalangan rakyat yang berbaris di tepi barisan tenteranya.
Muslimah itu mengangguk dan menunjuk dengan telunjuknya pekedai dan rakannya yang telah menjatuhkan maruahnya.
“Kau mulai sekarang, aku jadikan hamba yang merdeka. Kuberikan rumah, kuberikan tanah. Dan mereka berdua ini aku hadiahkan kepada kamu sebagai hamba”
Perempuan itu terkedu.
“Al-Mu’tasim, kau lancarkan perang ini hanya kerana seorang perempuan?” Satu jeritan kedengaran.
Al-Mu’tasim menoleh. Kelihatan seorang lelaki sedang dipukul oleh tenteranya. Mungkin kerana jeritannya itu dikira sebagai tidak beradab kepada khalifah.
“Siapakah dia?” Al-Mu’tasim bertanya kepada pengiringnya.
“Dia itu adalah ketua jeneral untuk Kota Amoria.” Pengiringnya berbisik.
Al-Mu’tasim mengangkat tangan, isyarat agar tenteranya berhenti memukul lelaki itu. Al-Mu’tasim merapati Jeneral Kota Amoria itu.
“Wahai jeneral, bukankah aku telah menghantar surat amaran? Sekiranya keeadilan tidak ditegakkan oleh pemimpin kamu, maka bersedialah untuk menerima tenteraku yang ramainya dari sempadan negara kamu hingga ke akhir sempadan negaraku? Dan pemimpin kamu tidak membalas suratku itu.” Al-Mu’tasim berbicara tenang.
Lelaki itu terdiam.
Al-Mu’tasim bergerak meninggalkan lelaki itu. Dia pergi ke arah pekedai dan rakannya. Memandang tepat kepada dua lelaki itu.
“Dan ketahuilah, masih ada lagi tenteraku yang sedang berbaris di hadapan istanaku untuk ke mari. Sesungguhnya, aku benar-benar mengotakan janji. Inilah dia kekuatan Tuhanku. Inilah dia warisan Rasulku. Sungguh, Dia tersangat mulia, tidak perlu turun sendiri untuk berurusan dengan manusia sepertimu. Sungguh, Rasulullah itu tersangat mulia, tidak perlu bangkit dari kubur untuk menguruskan kamu. Aku, hamba-Nya dan ummat kepada baginda, sebagai wakil menjalankan hukumNya dan membela ummat baginda.” Mata Al-Mu’tasim membesar.
Pekedai dan rakannya melutut kegerunan.
Al-Mu’tasim berpaling dan kembali menunggang kudanya.
“Mari kita pulang.” Al-Mu’tasim mengangkat tangannya. Gendang kedengaran. Seluruh tentera yang mengiringinya mendahului Al-Mu’tasim.
****
Tahun 1186. Di tengah sahara antara Kairo dan Damascus. Satu kafilah bergerak merentas bumi gersang di bawah terik mentari. Langit biru tanpa awan menambah hangat.
“Kafilah mereka sudah berada dalam pandangan kita, tuanku.”
Seorang lelaki bertubuh besar berjanggut kerinting keemasan memandang kepada pelapor. Dia mengangguk. “Ya, aku tahu”
“Bila kita hendak bertindak?”
Lelaki itu tersengih. “Tunggu arahan aku. Arahkan tentera kita berkumpul terlebih dahulu.” Bicaraya sambil memandang karavan tunggal di tengah padang pasir yang luas.
“Hari ini, orang Islam akan tahu betapa mereka hakikatnya tidak punya kuasa” Dia ketawa.
Tidak lama kemudian, si pelapor datang semula. “Semua tentera kita telah bersedia, tuanku!”
“Bagus. Dengan namaku, Raynald De Chatillon, serang!” Dia mengacukan pedangnya ke arah kafilah yang sedang bergerak itu.
Tenteranya bergerak ibarat taufan yang menyerbu. Debu-debu sahara naik membuatkan langit biru kelihatan perang. Jeritan ahli kafilah kedengaran melantun-lantun diiringi teriakan kesakitan. Darah merah memercik di sana sini menghiasi medan.
Raynald De Chatillon ketawa berdekah-dekah. Pengawal-pengawal karavan yang sedikit tidak mampu berhadapan dengan tenteranya. Satu persatu tumbang. Bahkan, ahli-ahli kafilah turut dibunuh tanpa berbelas kasihan.
“Tinggalkan seorang sahaja. Adik kepada Salahuddin Al-Ayubi, dia mesti menjadi tawanan kita!”
Dan hari hitam di tengah sahara itu berakhir dengan penuh tragis. Barang-barang dirampas. Haiwan tunggangan diambil. Ahli kafilah perempuan dirogol dan dibunuh. Yang lelaki dipenggal kepala semuanya. Tandu-tandu dibakar. Suasana persis neraka.
“Ini dia Tuanku Raynald. Adik kepada Salahuddin” Seorang perempuan memakai burqa ditolak dengan belakang pedang menghadap Raynald.
Raynald segera menghunus pedangnya yang masih berlumuran darah. Segera dicantas burqa perempuan di hadapannya. Terserlah wajah perempuan itu yang bersih.
“Adik Salahuddin. Di manakah Allah dan Muhammad kamu hari ini? Panggil lah mereka”
Adik Salahuddin senyap. Namun wajahnya tidak menunjukkan riak takut.
“Allah akan menguruskan kamu wahai Raynald!” Bicaranya berani selepas memandag wajah Raynald dihiasi tawa angkuh.
Gelak Raynald tambah berdekah.
“Selepas ini, aku akan ke Makkah untuk merobohkan Ka’bah, dan ke Madinah untuk mengorek kubur Muhammad. Baru kamu tahu betapa lemahnya kamu!”
Dan Raynald membawa adik Salahuddin bersamanya.
****
Tahun 1187. Medan peperangan Hattin. Debu masih menyelimuti langit. Mayat-mayat pula penuh bergelimpangan di atas bumi. Burung-burung pemakan bangkai mula mengintai makanannya.
Kelihatan dua orang lelaki dalam keadaan terikat, sedang dibawa ke satu khemah yang besar.
“Tuanku, inilah dia Guy of Lusignan dan Raynald De Chatillon” Wakil askar yang membawa dua orang itu bersuara.
Satu figur yang memakai zirah perang kuning keemasan lengkap bertopi, memalingkan wajah. Menghadap kepada dua tawanan perang itu. Matanya bersinar.
“Salahuddin” Raynald mengetap bibirnya.
Salahuddin Al-Ayubi tersenyum.
“Kamu mengabaikan suratku agar memulangkan adindaku. Bahkan berkeras untuk tidak menyerah dan membunuh pula utusanku” Salahuddin bergerak melepasi dua tawanan itu.
Dia memandang jauh ke medan perang.
Mayat-mayat tentera salib sedang dikumpul untuk dibakar. Pakaian besi dan senjata mereka telah diekstrak sebagai harta rampasan. Guy of Lusignan bersama Raynald De Chatillon keluar dari Sephoria menuju ke Tiberias untuk berhadapan dengan tentera Salahuddin Al-Ayubi selepas terpancing dengan serangan Salahuddin ke atas benteng tentera salib di Tiberias. Tentera Salahuddin yang utama hakikatnya berada di tempat bernama Kafr Sabt, bersedia untuk menyerang hendak tentera salib pimpinan Guy dan Raynald.
Perjalanan yang panjang, tanpa sempat mencapai sumber air, membuatkan tentera Salib menjadi lemah. Ketika itu juga tentera Salahuddin dari Kafr Sabt bergerak menghentam mereka dari dua arah. Dalam masa dua hari, tentera mereka hancur. Cubaan terakhir, mereka bergerak ke sebuah kawasan air di Hattin untuk menyusun semula tenaga mereka.
Namun Salahuddin telah menjangka semuanya. Di lembah Hattin, tentera Salib dihabisi.
Begitulah Allah mengotakan janji-janjiNya.
Di manakah Allah?
Bersama hambaNya yang percaya.
Salahuddin berpaling kembali dan merapati Guy dan Raynald. Dia memberikan isyarat kepada pembantunya agar membawakan air. Apabila air telah sampai, Salahuddin meminum air itu dan kemudian memberikan segelas air kepada Guy.
Guy mengambil dengan rakus, kerana sememangnya dia kehausan. Namun di tengah kehausannya, dia tidak lupa akan Raynald. Diberikanna sedikit air untuk rakannya itu.
Salahuddin mencelah: “Aku tidak memberikan kebenaran pun untuk itu”
Kedua mereka diam. Raynald kemudian menjawab: “Tidak. Tetapi rajaku, Guy yang memberikan aku minum”
Salahuddin tidak berkata apa-apa.
“Kau masih ingat apa yang kau katakan tahun lepas, Raynald?”
“Em, apa yang aku katakan?”
“Di manakah Allah dan Muhammad untuk membantu kamu?” Mata Salahuddin membesar.
Bulu roma Raynald menegak.
“Di sini Allah menurunkan hukumanNya buat kamu!” Salahuddin mengunuskan pedangnya, terus memeganggal kepala Raynald De Chatillon. Darah menyembur hingga membasahi tubuh Guy of Lusignan. Tubuh Raynald menyembah bumi dengan kepala terpisah dari diri.
Salahuddin memandang Guy.
“Raja tidak akan membunuh raja. Apakah ini tidak cukup untuk kamu mengambil pengajaran?”
Dan Salahuddin bergerak pergi.
“Kita ke Jerusalem. Menawan Al-Quds!” Sambil mengangkat tangannya. Disambut takbir yang menggempita daripada seluruh tentera.
****
2010. Atas kapal Marmara Mavi. Di sempadan laut Gaza.
“Tengah buat apa?” Satu sapaan menggetarkan gegendang telinga.
Noorazman menoleh. Kelihatan Ustaz Hasanuddin. Dia menyambut lelaki itu dengan senyuman.
“Sedang terkenangkan ummat” Noorazman melepaskan pandangan ke laut. Kelam sebelum subuh masih pekat. Justeru gelita ibarat malam tidak sirna. Tinggal hawa menjadi semakin sejuk dengan kewujudan embun dari langit. Dia duduk di tepi kapal bersama baju yang tebal.
Ustaz Hasanuddin duduk. “Moga-moga, usaha kita ini akan menjadi batu loncatan agar ummah bangkit dari lena”
Noorazman mengangguk. “Sungguh, misi kita bukan sekadar hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Tetapi kita harapkan misi ini mampu memangkin semula keimanan ummah”
“Sama ada dengan kita selamat sampai ke Gaza, atau ditimpa musibah Israel di tengah lautan, kedua-duanya akan memberikan impak kepada dunia” Ustaz Hasanuddin membuka dompetnya.
Gambar dirinya bersama isteri dan anak-anak.
“Walau diri ini berkorban dan akhirnya terkorban, kalau itu harganya untuk kebangkitan ummah, maka ana tak akan menyesal”
Noorazman menghela nafas. “InsyaAllah, akan ada jiwa-jiwa yang menyahut” Sambil tangannya memaut bahu Ustaz Hasanuddin.
“Amiin”
Tiba-tiba, keheningan kelam terganggu dengan satu bunyi yang menderu. Noorazman dan Ustaz Hasanuddin mendongak ke langit. Kelihatan lampu-lampu sedang terapung.
“Apakah…” Dan belum sempat Noorazman menyempurnakan kalimah itu, lampu-lampu yang terapung sudah berada di atasnya bersama bunyi yang sangat kuat.
Putaran kipas Apache AH-64D kedengaran membingit.
“Ustaz Hasanuddin, Israel!” Noorazman menolak Ustaz Hasanuddin agar berlindung ke dalam kapal.
Tanpa amaran, tembakan bertalu-talu dilepaskan. Suasana kapal yang tadinya tenang kini bergejolak. Komando-komando Israel turun dari helikopter dan tanpa belas melepaskan tembakan bertalu-talu ke semua arah tanpa mengira sesiapa.
Noorazman dan Ustaz Hasanuddin berlindung di sebalik dinding. Mereka sempat juga melihat kapal-kapal lain yang menyertai konvoi Lifeline4Gaza, Break The Siedge, sedang mengalami nasib yang sama.
“Ya Allah, sungguh Allah telah memilih kita!” Ustaz Hasanuddin memandang Noorazman.
Belum sempat Noorazman memberikan respon, satu bunyi membuatkan tubuhnya kaku. Terasa seperti ada besi panas menyentuh ubun kepalanya.
“Jangan bergerak. Bangun dengan perlahan-lahan” Suara itu kedengaran. Menurut arahan, Noorazman dan Ustaz Hasanuddin bangun. Kelihatan tentera berpakaian serba hitam sedang mengacu SC3000 ke arah mereka berdua.
Noorazman dan Ustaz Hasanuddin dibawa ke hadapan dek kapal. Di situ mereka melihat ramai lagi ahli konvoi sedang dikumpulkan. Sempat mereka melihat berbelas mayat bergelimpangan. Air mata tidak dapat ditahan, lantas mengalir kesayuan.
“Apakah kalian tidak kisah bahawa perkara ini akan ditunjukkan kepada dunia?” Noorazman berbicara kepada tentera yang membawanya.
Tentera itu hanya tersegih. “Sedangkan pembunuhan dan peperangan di Palestin selama ini pun dihalalkan oleh dunia untuk kami, apatah lagi kematian sekitar 20 orang hari ini?”
“Allah akan menghitung kamu!” Ustaz Hasanuddin mengetap bibir, geram.
Tentera-tentera itu ketawa.
“Maka di mana Tuhan kamu itu?” Dan mereka terus ketawa. Salah seorang dari mereka memegang kepala Ustaz Hasanuddin dengan keras. Matanya didekatkan dengan mata Ustaz Hasanuddin.
“Kami telah menawan Palestin 62 tahun. Dan sepanjang waktu itu, entah berapa kali kami telah mendengar laungan nama Allah dari mulut mereka. Tetapi tetap kami yang berkuasa. Hari ini, semua yang mati itu, semuanya menjerit nama Allah di hujung nyawa mereka, tetapi tetap kami berdiri di sini menawan kamu semua.”
Kemudian dia diam sebentar. Ustaz Hasanuddin pula turun naik nafasnya.
“Maka, di mana tuhan kamu?”
Dan soalannya disambut dekah tawa.
Seluruh kapal konvoi di bawa Haifa.
Tragedi yang berlaku ini, menggemparkan dunia. Tetapi kekebalan Israel membuatkan segala suara menjadi sia-sia. Tambah menjadi anak angkat kepada penguasa dunia, atau lebih tepat lagi, kuasa dunia itu adalah boneka mereka, Israel tidak mampu disentuh hanya dengan jeritan sahaja.
Ada manusia akhirnya tidak peduli. Padanya ini hanyalah satu kisah, dari puluhan kisah tragedi di tangan Israel. Ada pula manusia yang turut serta bising itu dan ini. Tetapi akhirnya dia juga senyap kerana tidak mampu mencapai apa yang dihajati dalam masa yang amat terdekat ini.
Ramai pula manusia sudah hilang kekuatan untuk berusaha. Sangka mereka Tuhan telah meninggalkan mereka.
Tetapi Allah hakikatnya sentiasa ada dan dekat dengan hambaNya. Ini adalah ujian, tapisan, untuk memerhatikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya. Nanti saat bantuan tiba, yang palsu keimanannya akan tertapis pergi.
Yang tinggal hanya yang benar-benar layak mencium syurga.
Dan dalam kalangan manusia berbagai rencah itu, wujud lagi yang tidak berputus asa.
Terus menerus memproses.
Memandang ini sebagai satu perang nafas panjang.
Yang di akhirnya hanyalah kebenaran kepada yang utuh berpegang.
*****
Tahun XXXX, tempat XXXX, waktu XXXX.
Dia meraup wajahnya. Doa penuh khusyuk telah dipanjatkan kepada Rabbnya. Mengambil masa, dia bertafakur seketika. Walau di luar kelihatan tidak melakukan apa-apa, tetapi akal dan jiwanya sedang bekerja. Akal merangka segala jenis formula strategi. Jiwa pula sibuk menjaga hubungan dengan Pemberi Kekuatan di medan nanti.
“Jeneral, pasukan kita telah siap” Dia dipanggil.
Menghela nafas, dia bangkit. Kain khemahnya diselak. Cahaya terang memanah. Dia sedang berdiri menghadap jutaan tentera yang berbaris kemas. Kelihatan pula di satu sudut, gabenor-gabenor wilayah sedang duduk di kerusi masing-masing. Di tengah-tengah mereka, terdapat satu figur yang kelihatan dari luarnya sederhana, tetapi perawakannya menggambarkan karismanya yang tinggi.
Itulah dia Khalifah ummat hari ini.
Dunia telah berubah ke satu ekstensi yang tidak pernah ada yang menjangka. Perubahan sedikit demi sedikit yang berlaku di serata tempat di dunia, membuatkan musuh-musuh tidak menang tangan menguruskannya. Akhirnya wujud beberapa negara yang berjaya ditumbangkan dan dikuasai. Ada yang menggunakan politik, ada pula yang menggunakan tentera.
Tetapi asasnya tetap sama. Ummah dikoreksi terlebih dahulu, sebelum kuasa diambil semula. Terus, masyarakat yang faham menyokong ketua mereka, bersepadu hidup dan mati kerana faham bahawa ini semua untuk syurga Allah di akhirat sana.
Ketua-ketua pula adil dan saksama, membentuk satu kesatuan menghapuskan sempadan sesama negara. Mewujudkan satu kekuatan bernaung di bawah satu nama. Khilafah.
Amirul Mukminin, Sultan tertinggi mengetuai semua orang Islam di dunia, dihidupkan semula. Semua orang Islam bergerak meninggalkan negara mereka dan bernaung di bawah kekuasaan khilafah ini. Mencari kehidupan yang aman bawah sistem peraturan yang ideal dan sempurna. Terlindung dan dibela.
Pembinaan yang dirancang berpuluh-puluh tahun dan digerakkan secara konsisten ini, melahirkan kekuatan yang tidak terjangka. Jika dahulu Amerika terpaksa bersaing dengan Russia untuk menjadi kuasa terbesar dunia, hari ini mereka sedang dihimpit satu kuasa besar yang tiada tandingannya.
Dan hari ini, tanah suci bernama Al-Quds hendak ditawan semula.
Walaupun berkali-kali Amerika merayu agar perjanjian damai yang menjadi solusinya, khalifah tetap berkeras untuk meneruskan ekspedisi perang ini. Tiada lagi yang berani menyelar itu satu tindakan terorisma. Tiada siapa lagi berani mengugut untuk melakukan itu dan ini jika bertindak. Tiada siapa lagi berani menghina dan mencerca.
Israel Zionis juga hilang bicara. Antara ugutan mereka adalah ingin meruntuhkan Al-Aqsa jika Khalifah tetap menyerang juga.
Tetapi Khalifah mengeluarkan kenyataan.
“Ka’bah pernah runtuh dan dibina semula. Kamu hanya akan mampu meruntuhkan bangunan Al-Aqsa dan kami akan membinanya semula.” Keras dan tegas, membawa kepada kegerunan yang tidak terhingga.
“Hari ini, aku sebagai wakil Allah di bumi, dan pewaris Rasulullah untuk zaman ini, akan menjalankan hukuman ke atas kalian wahai kaum kera” Khalifah menutup penyataan tegasnya.
Amerika diberi amaran agar menyertai Israel agar mudah dihapuskan sekaligus, dan nyata Amerika tidak berani berbuat apa-apa melainkan menunggu gilirannya di bumi sendiri sana.
Dia menghela nafas. Dia, jeneral yang akan mengetuai ketumbukan tentera untuk menundukkan Israel hari ini. Dan semua yang berada di hadapannya kini, tidak akan mampu terwujud tanpa usaha penuh perancangan dan konsisten yang dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu.
Satu proses yang dilaksanakan penuh dedikasi dan efisyen.
Dakwah dan Tarbiyyah dalam bentuk pegerakan yang bersistem.
Ibarat anai-anai yang merobohkan almari. Senyap bekerja, dan kesannya menggemparkan jiwa.
Nafas disedut tenang. Dia mengangkat tangan.
“Menuju Al-Quds!”
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Dan teriakan takbir menggempita.
Hujan turun membasahi dunia. Seakan-akan tangisan syukur oleh bumi kerana kembalinya kerajaan khilafah yang bersatu seperti zaman Al-Mu’tasim, dan tentera serta pemimpin yang bersih seperti Salahuddin dan askarnya yang dipimpin.
Kapal terbang, jet pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang armada, bergerak meninggalkan pangkalan.
Dia memandang jauh ke hadapan.
“Wahai Israel, inilah dia suara Tuhanku menyatakan bahawa Dia sentiasa wujud bersama hambaNya. Yang percaya akan bahagia. Yang tidak hanya akan merana”
Rujukan:


PERKONGSIAN 3
By ; www.langitilahi.com

Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita.  ~  picture by screwbald of Deviant Art
Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita. ~ picture by screwbald of Deviant Art

Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.
 Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya. Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak mencritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.
Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok. Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa. 31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita? Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

Hakikat sebuah perjuangan
Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:
“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”
Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.
Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.
Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.
Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.
Apa yang telah kita korbankan?
Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.
Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.
Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam
Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.
Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?
Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?
Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.
Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.
Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.
Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?
Berapa ramai dan berapa ramai?
Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.
Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.
Kita lemah dan tidak berdaya.
Hanya mampu menjerit sahaja.
Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita
Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.
Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.
Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.
Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.
Itulah dia musuh kita.
Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.
Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.
Jalan kemenangan bukan dengan jeritan
Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.
Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?
Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.
Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.
Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.
Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.
Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.
Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?
Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.
Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.
Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?
Siapakah yang berusaha untuk menang ini?
Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?
Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?
Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?
Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.
Zaman itu ada semua itu.
Zaman kita apa yang ada?
Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.
Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.
Kenapa mereka tidak menang?
Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.
Tidakkah kita mengambil pengajaran?
Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.
 

0 comments: