Friday, July 23, 2010

perkongsian : muhasabah diri


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..ALLAH adalah satu-satunya pemelihara alam..pemelihara hati dan jiwa,Segala puji HANYA untuk Allah atas segala pemeliharaan-Nya , dan promote tertinggi buat kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W.Contoh teladan terbaik sepanjang zaman.

Dalam kepenatan ..

dalam kelelahan...

Mari sahabat..mari kita duduk sebentar ...dan beriman

IJLIS BINA NU'MIN SA'AH (duduk dan beriman sebentar )

mari teman..mari kita cas iman kita bersama,mar
i sama-sama bermuhasabah
Apakah kesibukan kita semakin mendekatkan diri kita kepada ALLAH??? atau...??

Duduklah sebentar..dan muhasabah iman di hati..

Tuesday, July 20, 2010

Saidina Abu Bakar As-Siddiq

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum...
Alhamdulillah,setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada-NYA kerana diri ini masih lagi di kurniakan pelbagai nikmat meskipun terlalu banyak dosa yang dilakukan.Salam ukhuwwah Fillah buat semua sahabat yang sentiasa dirahmati Allah SWT. Apa khabar iman, hati dan kesihatan jasadiah/badan pada hari ini? Moga ianya sentiasa dalam keadaan baik dan barakah Allah SWT. Marilah sama-sama kita panjatkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang tidak pernah putus DIA berikan kepada kita semua...hamba-hamba-NYA. Walau terkadang kita khilaf/tersilap langkah dalam hidup ini, tetapi DIA tidak jemu-jemu memberi peluang kepada kita semua untuk memperbaiki diri, bertaubat kepadaNYA dan berusaha menambah ilmu dan amal demi meraih redha-NYA semata. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat r.a. Merekalah sumber inspirasi kita dan jalan Qudwah Hasanah kita, insyaAllah, marilah sama-sama kita berazam untuk menjejaki jejak langkah mereka kerana mereka adalah Generasi Al-Quran Yang Unik.


Maaf di pinta kerana lama x update blog.Allah izin ada perkara yang perlu diutamakan. Andainya IPT lain baru ingin menghadiri kelas, KUIS pula sudah berada di minggu yang ke-11.Segala asgment perlu dihantar dan ada pensyarah yang ingin segera buat midterm bagi memudahkan proses memberi markah untuk carrymark. Mohon dan hajat sangat-sangat doa dari sahabat sekalian agar kita saling mendoakan  kecemerlangan kita untuk ISLAM...Apapun yang kita lakukan,letakkanlah pandangan Allah sebgai pandangan yang UTAMA..

Insya Allah kali ini saya tidak berhajat ingin copy dari mana-mana artikal namun, saya ingin berkongsi kisah sahabat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Hati ini berasa sayu sekali membaca sirah sahabat yang dikenali ramai...ABU BAKAR AS-SIDDIQ. 

SIAPAKAH ABU BAKAR AS-SIIDIQ???

Bila ditelusuri sejarahnya, hati ini sayu dan pilu mengenangkan betapa kasihnya beliau terhadap sahabatnya tercinta iaitu Rasullullah S.A.W.Beliau mengakui segala apa yang dituturkan oleh Rasulullah S.A.W sehinggalah mendapat gelaran As-Siddiq iaitu membenarkan. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud : " Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku adalah Abu BAkar. Sekiranya aku mahu mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, Tetapi beliau saudaraku dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela diantara dua buah rumah untuk Abu Bakar."      (HADIS ABU SAID R.A )

Nama sebenar beliau adalah Abdul Kaabah namun digelar Abu Bakar kerana membawa maksud unta muda. Abu Bakar juga mempunya hubungan kekeluargaan dengan Nabi Muhammad. Mereka bersahabat semenjak kecil lagi dan Allah turut memelihara beliau dari menyembah berhala dan meminum arak. Abu Bakar menamatkan zaman bujangnya sebelum memeluk Islam dengan memilih Qatilah Binti Saad. Beliau jugalah yang memberi cadangan kepada Saidatina Khadijah binti Khuwalid supaya memilih Nabi Muhammad sebagai suami.

REAKSI KEDATANGAN ISLAM

Pada suatu hari, sekembalinya Abu Bakar dari berniaga ke kota Mekah kelihatan orang ramai berkumpul di hadapan kaabah. Abu Lahab telah memberitahu bahawa sahabat baiknya iaitu Nabi Muhammad telah mengaku pesuruh Allah dan meminta beliau untuk memujuk Baginda supaya kembali ke agama nenek moyang mereka. Abu Bakar segera berjumpa dengan Nabi untuk bertanya perkara yang sebenarnya. Selepas Nabi menjelaskan bahawa baginda telah menerima wahyu yang pertama di Gua Hirak, Abu Bakar terus mengucapkan kalimah syahadah.
Terlalu banyak duri dan ranjau yang dilalui oleh Abu Bakar bersama Rasulullah. Sepanjang beliau menjadi khalifah yang pertama, beliau telah menghapuskan golongan yang murtad, golongan nabi palsu, berusaha mengumpulkan al-Quran dan banyak lagi sumbangan beliau.

BUKTI KASIH

Kasih Abu Bakar pada Rasulullah tidak dapat ditandingi. Hal ini kerana beliau lebih mementingkan baginda berbanding diri sendiri. Selain kisah kaki beliau dipatuk di Gua Thur kerana melindungi Rasulullah,ada lagi cerita lain yang mungkin ada yang belum pernah tahu.Pernah satu ketika Rasulullah diserang oleh beberapa orang yahudi namun, beliau segera melindungi baginda dari dipukul sehingga pengsan. Apabila tersedar dari pengsan, beliau terus bertanyakan keadaan Rasulullah tanpa merasakan kesakitan yang dialaminya. Akhirnya beliau terpaksa dipapah ke rumah Rasulullah kerana beliau tidak akan makan atau minum selagi tidak memastikan Rasulullah selamat. Ya ALLAH! Betapa kasihnya beliau terhadap sahabat karibnya. Terlalu banyak pengorbanan beliau lakukan sepanjang berdakwah demi menyebarkan Islam..
Ketika Rasulullah sakit, beliaulah orang pertama yang merasa sedih. Dan disaat Rasulullah berjemaah bersama para sahabat untuk kali terakhir, beliaulah yang baginda lantik menjadi iman. Seusai solat, Rasulullah berkata " Allah sudah menawarkan kepada seorang hamba-NYA bagi memilih hidup bahagia di sisi-NYA "
Abu Bakar yang mendengar ucapan baginda ketika itu terus menangis teresak-esak hingga air mata membasahi janggutnya. Orang ramai yang tidak memahami  berasa hairan dan tertanya-tanya sebab Abu Bakar menangis. Namun  beliau hanya memendam didalam hati bahawa Rasulullah sudah memberi isyarat tugasnya menyampaikan risalah Allah sudah selesai dan baginda akan dijemput mengadap Rabbul Jalil.


ABU BAKAR SUDAH, KITA PULA???
Terlalu banyak pengorbanan Abu Bakar demi menyebarkan Islam. Rasulullah pernah berkata " Sekiranya ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat manusia, maka lebih berat keimana Abu Bakar. "  MasyaAllah....terlalu hebat seorang insan yang bernama Abu Bakar. Terasa kelu lidah untuk berbicara mengenai iman, terasa kaku tubuh untuk beribadat, terasa kerdil diri ini namun...semua itu perlu diketepikan. Kita perlu terus memproses hati sebagaimana Abu Bakar memproses hatinya sehingga tiada sekelumit perasaan negatif.
Itulah Abu Bakar, sahabat yang dijamin masuk syurga. Kita pula bagaimana??? Ayuhlah mujahidah kebanggaan agama,marilah kita bersama membaiki diri. " ASLEH NAFSAKA WADU' KHAIRAKA " BAIKILAH DIRI DAN AJAKLAH ORANG LAIN BERSAMA "

Semoga mendapat manfaat bersama...
Wallahua'lam...



Sunday, July 11, 2010

perkongsian : Jiwa Saya Lemah.....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Assalamualaikum WBT

Para hati yang sentiasa kembali kepadaNYA...

Marilah sama-sama kita sentiasa refresh niat kita dalam mencari Redha Allah SWT. Semoga REDHA ALLAH sentiasa mengiringi kita semua, iAllah.  Hajat doa bersama.  Disini ada sedikit perkongsian dari seorang murabbi,moga kita mendapat manfaat bersama...


Jiwa saya lemah cikgu
Saya rasa tidak mampu untuk melaksanakan kerja Islam
Saya tak qowi (kuat) macam mereka


Itulah antara keluhan dan aduan yang selalu saya terima dan sering saya tanyakan semula; Adakah kamu lemah atau terpedaya? Ya, itulah persoalannya. Adakah kita lemah atau terpedaya.

Kalau kita lemah, Allah tidak suruh kita buat diluar batas kemampuan kita. Kalaupun kita lemah takkan tidak ada sesuatupun yang boleh kita lakukan untuk diri kita dan Islam, takkan kita tidak mampu bermunajat memohon kekuatan untuk saudara-saudara kita yang sedang berjuang juga untuk kita bangun semula, takkan kita tidak mampu berkata benar, memaafkan kesalahan orang lain tanpa diminta, berbaik sangka dan berbagai amal lain lagi yang dapat mengindahkan dunia dengan warna-warna Islam. Takkan kita tidak mampu sumbangkan RM 1 untuk Palestine atau mungkin 50 sen.

Persoalannya, benarkah kita lemah atau kita terpedaya dengan tipudaya syaithan yang membisikkan kelemahan pada jiwa kita dan menaburkan benih keraguan hingga kita terdiam tanpa doa dan taubat, hingga kita panjangkan menungan kita hingga kita melupakan penderitaan umat.




Kita adalah diri kita sendiri. Kekuatan kita tidak akan tertingkat melainkan kita berusaha untuk meningkatkannya. Kita juga tidak ada banyak masa untuk berlengah-lengah atau memanjangkan angan-angan. Lakukan apa yang kita mampu dengan terbaik. Semakin kita lakukan yang terbaik apa yang kita mampu maka kemampuan kita akan bertambah. Kekuatan kita akan bertambah seiring dengan doa dan taubat kita bukan dengan keluhan dan rasa lemah kita. Jika kita rasa lemah maka panjangkan munajat kita dab lazimkan taubat dan istighfar, bukalah lembaran-lembaran Al Quran dan selusurilah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat RA disana ada penyubur jiwa dan sumber kekuatan jiwa. Jika kita rasa kecewa dan ingin menangis maka menangislah dalam doa kita atau dalam sujud kita...sandarkan jiwa kita pada yang Maha Kuat lalu kekuatan akan menguasai diri kita. Jika jiwa kita masih berlengah maka hukumlah ia dengan puasa atau beberapa lembaran al Quran bukan dengan cercaan dan ejekan hingga jiwa kita semakin lemah dan berlengah.

Tuesday, July 6, 2010

Perkongsian: Ingin BAHAGIA dan DICINTAI?


SIAPA di antara yang ingin menjadi manusia yang dicintai dan diredhai Allah SWT? Inginkah kita menjadi insan yang bersegera pergi ke masjid dan menunggu waktu solat berikutnya setelah menunaikan solat sebelumnya?

Insan yang bangun ditengah malam untuk bermunajat dan menumpahkan air mata. Insan yang bersedekah dengan tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri; insan yang ikhlas bersedekah. Insan yang khusyuk dalam solatnya dan mengadap Tuhan dengan sepenuh hati. Insan yang banyak berdoa dan berzikir. Insan yang tidak mengejar dunia melainkan mencari kebahagiaan akhirat. Insan redha dengan qada dan qadar Allah SWT. Insan yang bersedia melakukan kebaikan, selalu membantu yang memerlukan dan berusaha membela yang teraniaya. Insan yang menyambung tali silaturrahim dengan yang memutuskannya, memberi kepada yang tidak mahu memberi dan memaafkan yang menzalimi.



Ya, kita semua mengiginkannya. Akan tetapi sulit bagi kita merealisasikannya. Tatkala memulakan solat, suasana dunia muncul dalam pemikiran kita. Ketika memulakan bacaan al-Quran, hati-hati kita berlarian menuju lembah-lembah kehidupan. Ketika membaca dan mendengarkan hal-hal yang wajib dilakukan, kita pun terpengaruh untuk melakukannya. Kita merasa sedih atas keadaan kita ini. Namun, kita masih tidak berubah, masih lagi jauh dari menjadi insan yang dicintai dan diredhai Allah SWT. Kita berusaha untuk membaiki dan melakukan muhasabah diri, akan tetapi kita tidak mampu untuk meningkatkan diri kita.

Apakah penyebab semua ini?

Bukankah dalam hati kita terdapat iman?

Lalu mengapa iman itu tidak mampu mendorong kita untuk melakukan amal soleh? Mengapa selama berabad-abad, amalan para sahabat, kalangan salaf dan orang-orang soleh dari ummat ini, sesuai dengan ucapan mereka; sedangkan kita hanya berbicara, berangan-angan dan bermimpi, tetapi tidak mampu untuk menunaikannya?

Hal ini tentunya kerana ada jurang antara akal dan hati kita. Akal yang memiliki fungsi membaca, mendengar dan merasa yakin, serta memberi isyarat kepada hati. Sementara hati yang dipengaruhi oleh isyarat akal, sering kali tidak mampu memerintah anggota tubuh untuk menunaikannya.



Tahukah anda mengapa?

Kerana ia tertawan oleh Hawa nafsu dan cinta dunia, serta terikat di bumi dan terkekang oleh syahwatnya.

Benar dalam hati terdapat iman kepada Allah SWT dan Hari akhirat. Hal ini kelihatan dalan perbuatan baik yang kita lakukan. Kita juga dapat mengetahui dengan jelas kadar dunia di dalam hati kita, yakni melalui berbagai perbuatan yang memperlihatkan sejauh mana keterikatan kita dengan dunia.

Berdasarkan hal ini, saya katakan bahawa kita tidak akan mampu melakukan apa yang kita inginkan dan diredhai Allah SWT, kecuali kita dapat membebaskan kehendak kita dan mebersihkan hati dari belenggu kekuasaan hawa nafsu serta menyerahkannya kepada ALLAH SWT semata dan sepenuh hati.

~ petikan dari buku: Peribadi yang dicintai Allah. Menjadi hamba Rabbani ~

Moga bermanfaat dan Allah redha.

Sunday, July 4, 2010

perkongsian :Kenapa Jiwa Lemah

Salam perjuangan dan mujahadah buat semua. Semoga REDHA ALLAH sentiasa mengiringi kita semua, iAllah.  Hajat doa bersama.  Disini ada sedikit perkongsian dari seorang murabbi,moga kita mendapat manfaat bersama...

 http://my.opera.com/azmanuhaa/blog/



Setiap dari kita tentunya pernah melalui hari-hari baru dengan penuh kegelisahan dan keraguan. Tentunya ada hari-hari dimana jiwa kita terasa lemah dan payah untuk bangun dan menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan.

Inilah sebenarnya hakikat diri kita. Lemah, serba kekurangan, tidak berdaya dan sentiasa memerlukan pergantungan kepada yang lebih kuat dan agung. Mungkin persoalannya; pada siapa kita sandarkan harapan kita, pada siapa kita tujukan segala keluhan dan keresahan jiwa kita dan pada siapa kita menagih simpati dan pertolongan. Di dalam beberapa tempat di dalam al Quran, Allah menggambarkan bahawa manusia ini memang lemah. Ya, kerana kelemahan itulah salah satu sifat sebagai hamba. Kita adalah HAMBA ALLAH yang sentiasa memerlukan taufiq dan hidayahNya.

Oleh itu kelemahan jiwa bukanlah penyakit yang sebenar tetapi simtom atau tanda bahawa hati kita sedang lemah pergantungannya kepada Allah SWT. Ada juga manusia yang cuba keluar dari sangkar kelemahan ini dengan cara yang salah lalu dibangunkan empayar kekuasaan dan kekayaannya, ditakluki pangkat dan dunia hingga dia memiliki segal-galanya. Dan benar, dia memiliki segala-galanya kecuali ketenangan, lapang dada, rasa aman, lapang dan cukup dengan apa yang dimilikinya.

Seorang Atheis berkata "Beriman pada tuhan adalah tanda kelemahan jiwa, bahkan manusia sebenarnya lebih hebat" lalu slogan inilah yang dijadikan sebagai dasar peradaban barat. Di atas dasar inilah gereja-geraja dipisahkan dari pengurusan dan pentadbiran kehidupan manusia lalu apa yang terjadi sekarang. Adakah mereka benar-benar berbahagia? Ya, memang mereka berbahagia lalu terbina banyak 'rumah-rumah bahagia' untuk mereka yang terselamat dari bunuh diri, pengambilan arak dan dadah berlebihan dan sebagainya.

Hari ini Steven Covey dan banyak lagi pakar-pakar jiwa mereka mula kembali kepada ketuhanan lalu digembar gemburkan SQ (Spiritual Quation) dan umat Islampun ada yang kagum seolah-olahnya SQ perkara baru yang tak pernah diperkenalkan oleh Islam.

Oleh itu pangkal bagi segala kelemahan jiwa ialah lemahnya pergantungan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Saya yakin semua kita bersetuju dengan penyataan ini, cuma bagaimana kita menterjemahkan konsep ini secara amali?

Setiap kali ditanya tentang keikhlasan, kekuatan jiwa dan sebagainya saya sering mulakan jawapan saya dengan membezakan antara proses dan natijah (hasil).

Iman adalah natijah, keikhlasan juga natijah dan begitu juga dengan kekuatan jiwa, keteguhan hati, iltizam, jiddiyyah, keyakinan pada janji dan pertolongan Allah, ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya. semua itu adalah natijah. Semua natijah ini tidak akan kita perolehi dengan doa-doa kita, munajat kita disepanjang malam atau tangisan-tangisan kita.

Saya sering berkata kepada orang yang bertanya tentang masalah hati, iman lemah dan sebagainya; "Kalau kita rasa hati kita atau iman kita lemah kita perlu lakukan sesuatu supaya hati atau iman kita kembali kuat dan bertenaga. Menyelesaikan masalah hati atau iman bukan macam mengarang sajak.... kita duduk termenung dan berfikir kenapa jiwa kita lemah, iman lemah dan sebagainya tetapi kita perlu cari bagaimana kita nak rawat hati kita. Bukalah lembaran-lembaran sirah....sahabat-sahabat Rasul pun pernah rasa lemah bahkan ada yang merasakan diri mereka munafik, LALU APA YANG MEREKA LAKUKAN? Rasulullah SAW pun pernah tertekan dan mengharungi hari-hari yang payah, LALU APA YANG BAGINDA RASULULLAH SAW LAKUKAN? Begitu juga ulamak-ulamak muktabar, mereka juga manusia biasa yang kadang-kadang merasa silau dan lemah memandang kehidupan LALU APA YANG MEREKA LAKUKAN? Bukankah inilah tujuan kita mendalami dan mempelajari sirah Rasulullah SAW, sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak muktabar? bahkan Al Quran merakamkan pelbagai kisah tentangan, ujian dan musibah beserta rawatan dan penyelesaiannya. Oleh itu kita perlu memahami setiap masalah dengan pandangan yang benar dan dari kefahaman yang benar-benar kita bina dengan proses yang betul."

Menangisi natijah yang tidak memenuhi citarasa kita tidak akan menghasilkan apa-apa. Katakan kita terasa sangat sejuk, lalu kitapun berlagu sedih mengadukan kesejukan kita, atau kita berzikir tiga ribu tiga ratus kali; PANAS.... PANAS kita akan tetap sejuk hinggalah kita bangun dan capai kain selimut lalu kita baluti tubuh kita dengan selimut tersebut maka segala kesejukan itu akan sirna.

Oleh itu kita perlu benar-benar jelasmana natijahnya dan yang mana pula prosesnya. Keikhlasan, keteguhan jiwa, ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya adalah natijah dari Iman. Iman juga natijah; iaitu natijah dari proses pembinaan Iman yang betul melalui proses yang betul serta betul pula sumbaer-sumber pembinaannya. Betul proses dan sumber juga natijah dari manhaj atau sistem pendidikan yang betul. Manhaj, kurikulum atau sistem tarbiyyah yang betul juga natijah????



Tentu ada yang semakin pening jadi saya ingin ringkaskan sebagaimana yang diringkaskan oleh ulamak-ulamak. Untuk menyelesaikan semua masalah kehidupan kita memerlukan 3 perkara:

1. Manhaj Salimah:

Kita perlu mencari satu sistem tarbiyyah yang betul dan menepati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Untuk mengukur kebenaran manhaj atau sistem tarbiyyah ini, kita sendiri perlu mengorbankan masa untuk mendalami sirah, buku-buku yang ditulis oleh ulamak-ulamak muktabar supaya kita ada satu gambaran sistem tarbiiyah yang benar yang boleh kita jadikan sebagai tolok ukur untuk menetukan kebenaran suatu sistem pendidikan atau manhaj tarbiyyah.

2. Murabbi Mithali:

Kita perlu mencari seorang yang benar-benar ikhlas unhtuk mendidik dan menghubungkan hati kita pada Allah SWT. Kata Ramadhan Al Buti pendidik yang sejati ini tidak akan mengikat kita pandangan peribadi mereka, atau jemaah atau parti atau persatuan mereka. Mereka akan menghubungkan hati kita pada sumber-sumber yang bersih yang boleh memberi kita gambaran Iman atau Keislaman yang benar. Saya tidak katakan berjemaah, berparti atau bepersatuan itu salah tetapi jemaah itu tidak dijadikan sebagai ghayaah atau matlamat tarbiyyah hingga semua perancangan,tindakan agenda tarbiyyah begitu terbatas dan penuh dengan sentimen-sentimen yang tumbuh bukan keranan rangsangan iman.

3. Bi'ah Solehah:

Kita perlu mencari satu persatuan atau jemaah atau sekelompok manusia yang berakhlaq dengan akhlaq Islam, sentiasa cuba memahami Islam dengan kefahaman yang betul. Fakta ini tidak bercanggah dengan fakta kedua kerana yang saya maksudkan berakhlaq Islam ini bertentangan dengan akhlaq jemaah atau persatuan parti dan sebagainya. Ukhuwah yang terbina kerana iman bukan kerana satu parti atau jemaah. Kita tidak mahu ada yang bersaudara kerana satu jemaah apabila kita tumpang hadir program tarbiyyah dari jemaah lain lalu kita kata mereka dan engkar atau tidak tsiqah atau patuh pada jemaah. Saya juga tidak maksudkan kita tak perlu komitted pada satu jemaah tetapi dalam membina kefahaman, menetukan jemaah atau manhaj tarbiyyah yang betul kita perlukan masa dan keterbukaan. Sampai masanya apabila kta temui satu manhaj yang menpati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW lalu kita setia dan menjadi pendokongnya. Berapa lama? Bergantung pada setiap individu. Dan apa yang saya maksudkan dengan akhlaq islam ini adalah amali kehidupan yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai Qudwah. Kita tidak mahu dimulut atau dalam ceramah berapi-api kita mengajak manusia kepada Islam dan mencotohi Rasulullah SAW tetapi masih terikat dengan riba, pergaulan tanpa kawalan, umpat sana-umpat sini, ampu sana ampu sini dan sebagainya.

Kerana saya menyentuh persoalan jemaah saya yakin ada yang tidak selesa. Untuk itu saya memohon maaf pada semua dan memohon keampunan Allah SWT. Saya sekadar ingin memberi gambaran umum dan perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih mendalam untuk lebih jelas. Tetapi biarlah perbincangan itu kerana mencari redha Allah SWT.