Monday, June 28, 2010

Muhasabah: TUGAS KITA, BERUBUDIYAH KEPADA-NYA


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Assalamualaikum WBT

Para hati yang sentiasa kembali kepadaNYA...

Marilah sama-sama kita sentiasa refresh niat kita dalam mencari Redha Allah SWT.

Kehidupan di dunia tidak lain hanyalah kesukaan dan kesenangan yang menipu daya. Kecuali bagi mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

"Dihiaskan dan dijadikan indah kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang didingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah) pada sisi Allah SWT adanya tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)"  surah Ali-Imran: 14

Para hati yang sentiasa merintih kepada-NYA...

Oleh sebab itu kita kena sentiasa jelas dan sedar apa tujuan hidup kita di muka bumi Allah SWT ini. Tugas kita hanyalah untuk BERUBUDIYYAH kepada-NYA sahaja.

"Dan (ingatlah), Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKU "  surah al-Dhazariyat: 56

Jadi dalam hidup ini satu perkara asas dalam setiap perkara ialah : "We Need Allah"

" (Oleh kerana Allah SWT menguasai segala-galanya, maka) wahai ummat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah SWT ( dalam segala perkara ) sedang Allah, Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji "  surah Fathir: 15

Jadi hati-hati yang berhajat untuk memperbaiki diri dan menuju redha-NYA...

Titik mula untuk kita menuju Allah SWT adalah kita hendaklah sentiasa menyedari dan menginsafi bahawa kita adalah hamba-NYA. Seorang hamba memerlukan kepada TuanNya tetapi Tuan tidak memerlukan hamba. 

Lantas di sini kita menyedari, jika kita tidak ambil Islam, Allah SWT takkan rugi sama sekali tetapi kita yang rugi. Jika kita tidak merebut cinta dan redha Allah SWT, Allah takkan rugi kerana Allah tidak berhajatkan belas kasihan atau rintihan daripada hambaNYA tetapi kita yang berhajatkan semua itu.

Hari ini kita dapat lihat berapa ramai hamba yang melupakan Tuan-NYA, berapa ramai hamba yang diulit oleh kesenangan Tuan-NYA...tetapi Tuan-NYA ini amat berbeza sekali. Bukan seperti tuan kepada Bilal b. Rabah RA yang menyeksa Bilal RA bila mendapat tahu yang Bilal RA telah menyembah agama Islam, bahkan Tuan-NYA yang ada pada hari sangat al-Sobur-Maha Penyabar, terus memberi peluang kepada hamba-NYA untuk kembali kepada Tuan-NYA yang sebenar. Dialah Allah Rabbul 'Alamiin.

Allah SWT tidak jemu memberi peluang kepada hamba-NYA untuk mendapat kasih, rahmat dan redha-NYA.

Persoalannya di sini, kenapa kita semua hamba Allah, memerlukan Allah dalam kehidupan kita?

Jawapannya, Allah SWT adalah cahaya dalam kehidupan kita. Gelap dunia tanpa cahaya, gelap hidup ini tanpa Hidayah dan Petunjuk Allah SWT = Jadi kita perlukan Allah SWT untuk bagi Petunjuk kepada kita.

"Tunjukilah Kami jalan yang lurus "  surah al-Fatihah: 6

Wahai hati yang ingin kembali kepada Allah SWT...

Jika kita Cinta Allah SWT dengan sebenar-benar CINTA, Allah SWT akan kurniakan kepada kita pembantu-pembantu atau sahabat-sahabat yang membantu meningkatkan keimanan kita kerana kita mencintai Allah SWT, yakinlah sahabatku bahawa pertolongan Allah SWT itu amat dekat.

Akhirnya, jika dilihat kepada diri seorang hamba tiada yang sempurna kecuali para Nabi dan Rasul. Setiap kita ada kelemahan tetapi yang membezakan orang beriman ialah kita ada kehendak dan kesedaran untuk berubah. Kita bukan golongan yang merintih dan mengeluh pada masalah tetapi kita adalah generasi yang ingin melakukan perubahan, generasi yang ingin membumikan Akhlaq Islamiah Maknawiyyah di atas muka bumi Allah SWT ini, insyaAllah.

Jadi, di mana ingin kita mulakan???
  1. Berubahlah diri sendiri dahulu
  2. Bila patut berubah"...NOW
  3. Kemudian ubahlah persekitaranmu
Seorang hamba yang Rabbani = Lurus hatinya - Lurus lisannya - Luruslah hidupnya.

"Sedikit yang bermanfaat lebih baik daripada banyak yang melalaikan"

Moga Allah Redha.
mujahidahmuslihah

Wednesday, June 23, 2010

Baginda Rasulullah SAW, Cintaku kepadanya...


Pertamanya dan buat selamanya, dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran  ingin bangkit melakukan perubahan diri ke arah yang Allah SWT redhai, tanpa rasa jemu dan lesu, kesyukuran kita panjatkan kepadaNYA yang mendasar di hati lantas kita berazam dan bersungguh untuk membumikannya dalam kehidupan kita...semata - mata mengharapkan redhaNYA. Ayuh sahabat sekalian, para mujahid dan mujahidah agama, terus melangkah dengan himmah / cita-cita yang membara dan iradat / keinginan yang tinggi untuk mendaulat dan menyokong syariat-NYA...insyaAllah.

Pada saat ini,kita terlalu sibuk hinggakan lupa atau tidak sempat untuk "cas iman" kita walau sebentar.IAllah kali ini dibawakan kisah sirah junjungan besar iaitu Nabi Muhammad s.a.w.Semoga ianya dapat memberi manfaat bersama.Satu perkara yang benar-benar meninggal kesan yang mendalam kepada jiwa saya adalah pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam perjuangan dan menegakan deen Islam. Ternyata jiwa dan hati baginda begitu mulia, dan tiada gambaran yang boleh diberikan melalui kata-kata tentang hakikat ini.Saya kongsikan kisah Baginda Rasulullah SAW yang saya petik daripada Blog salah seorang Murabbi saya untuk sama-sama kita hayati dan mendalami sirah pengorbanan dan perjuangan seorang insan yang seharusnya menjadi insan yang kita cinta segenap jiwa dan hati kita.



Pengorbanan Baginda diluar batas kemanusiaan. Pernah Baginda berjalan-jalan ditengah padang pasir ketika tengahari yang panas yang kebiasaannya masyarakat Arab akan berehat di rumah. Apabila Baginda bertemu dengan dua orang sahabat maka ditanya kepada Baginda, kenapa Baginda SAW di situ, maka jawabnya “Aku lapar, sudah beberapa hari aku tidak makan”.

Bukankah Saidatina Khadijah isterinya adalah seorang janda yang cukup kaya dan Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang Berjaya dan disenangi?
Kemanakah perginya harta kekayaan Baginda?
Kenapa Baginda harus lapar?

Bahkan setelah dijamu makan oleh sahabat tadi, Baginda minta pula sedikit makanan untuk anaknya Fatimah RA, kata baginda “Sudah beberapa hari makanan tidak masuk ke dalam perutnya”. Kemanakah seluruh kekayaan Baginda dibelanjakan hingga Baginda dan anak kesayangannya itu terpaksa melalui hari-hari yang panas dalam kelaparan?

Bukankah semuanya dikorbankan untuk kita?

Untuk keimanan sampai ke hati-hati kita,

untuk kita mengenal Allah sebagai Ilah dan Rabb

dan untuk kita selamat dari azab neraka Allah SWT.

Kenapa baginda harus berkorban hingga begitu sekali? Begitulah mendalamnya cinta Baginda kepada kita ummatnya. Tak terbayangkah kita ketika Baginda berdepan dengan sakitnya sakaratul maut? Nama siapakah yang disebut-sebut Baginda? Bukankah Baginda menyebut … ummati! ummati! ummati!. Sekiranya kita benar-benar cintakan Baginda tentunya kita akan terdengar panggilannya itu setiapkali kita membaca kisah saat-saat kematinnya. Ya, kita tidak dapat dengar dengan telinga kita tetapi kita akan dengarkannya dengan jiwa dan nurani kita. Panggilan yang penuh kasih dan pengharapan agar kita nanti akan bersamanya di Akhirat nanti.


Cuba kita bayangkan hijrah Baginda ke Madinah. Perjalanan yang hampir 500 KM. Menempuh padang pasir yang kontang dengan batuannya yang tajam sedangkan musuh boleh muncul pada bila-bila masa sahaja.


Cuba kita bayang peristiwa di Ta'if. Setelah begitu hebat dakwahnya ditentang di Mekah, Baginda berangkat ke Ta'if dengan seribu harapan. Tidak ada unta yang menjadi tunggangan Baginda melainkan Keimanannya pada Allah SWT, Tidak ada tongkat melainkan Roja'nya pada Allah dan tidak ada bekalan selain Taqwanya pada Allah SWT. bagaimana pula layanan penduduk Ta'if yang merupakan tetangga Halimaton Sa'diah, ibu susuan Baginda? Apa yang mereka lemparkan pada tubuh Baginda?. saidina Zaid menjadikan dirinya sebagai benteng lalu hampir-hampir kepalanya pecah. Darah-darah baginda SAW mengalir dari betis-betisnya lalu membasahi bumi Ta'if. Adakah Baginda doakan kebinasaan kepada mereka yang begitu membencinya? lalu apa yang Baginda doakan?

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu, kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha."

MasyaAllah...


Sedikit yang bermanfaat itu lebih baik dari banyak yang melalaikan...wallahualam...

Tuesday, June 22, 2010

perkongsian : HARAPAN DEMI HARAPAN

Salam perjuangan dan mujahadah buat semua. Semoga REDHA ALLAH sentiasa mengiringi kita semua, iAllah.  Hajat doa bersama.  Disini ada sedikit perkongsian dari seorang murabbi,moga kita mendapat manfaat bersama...

 http://my.opera.com/azmanuhaa/blog/

Asalamu'alikum Pada Semua yang sentiasa meletak HARAPAN HANYA PADA ALLAH..Alhamdulillah! Kita masih diberi ruang dan kekuatan oleh Allah yang maha Esa lagi Sang Penguasa yang mencipta dan Mengurus segalanya.

Pastinya kita bersyukur dan bertungkus-lumus untuk menjaga Iman dan Islam yang telah dianugerahkan, bukan suatu perkara yang mudah, namun dengan apa kita lalui iaitu semalam telah berlalu, hari ini sedang kita lalui dan mungkin esok datang lagi... Lalu kita sentiasa Muhassabah dan Muraqabah.

Sebenarnya Formula Kehidupan telah ada ditangan kita... Apa yang masih kurang pada Pakej yang telah telah di tinggalkan oleh Rasul s.a.w?

Ayuh kita benar-benar hayati dan amali Al-Quran dan Sunnah, kerana selagi kita berpegang keduanya pastinya Insan berIman tidak akan hilang harapan malah penuh yakin dan berwaspada dalam menghrungi hidup ini.

Firman Allah:
2. Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
3. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
( 65. Ath Thalaaq: 2-3)

Siapalah kita untuk mempersoalkan apa yang telah di Takdirkan keatas diri kita , apa yang lebih penting adalah selayaknya sentiasa ta'at dan bersyukur pada apa yang telah kita miliki sedangkan kita tidak pernah meminta-minta dulu... semuanya telah disediakan! Alhamdulillah!

Firman Allah:
7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
(14. Ibrahim)

Nikmat Allah akan melimpah ruah keatas Insan yang sentiasa sedar dan faham bahawa kita hanyalah hamba kepada Allah sebagai Rob dan Ilah, Pada NYA milik segala kekuasaan dan kekayaan... Mohonlah

60. Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."
(40. Al Mu'min:60)

Wahai Saudara ku yang dikasihi... Sebenarnya Allah amat pengasih dan Amat Penyayang Pada HambaNYA yang mahu mendekati dan sentiasa memohon keampunanNYA.. Mohonlah dan Letaklah PENGHARAPAN HANYA PADA ALLAH.

Esok yang datang pasti membahagiakan kita di Dunia dan Akhirat... InsyaALLAH..

Friday, June 18, 2010

Perkongsian : APAKAH IKHLAS ITU ?

Salam buat sahabat semua. Satu perkongsian daripada seorang murobbi.
Moga bermanfaat dan ALLAH redha.

Oleh : Abu Ridhwan (http://www.haluantarbawi.com)

Apakah ikhlas itu? Orang yang ikhlas adalah orang yang tidak menyertakan kepentingan peribadi atau imbuhan duniawi dari apa yang dapat dia lakukan. Konsentrasi orang yang ikhlas cuma satu, iaitu bagaimana agar apa yang dilakukannya diterima oleh Allah swt. Misalnya ketika kita sedang memasukan wang ke dalam kotak infaq, maka fokus fikiran kita tidak ke kiri dan ke kanan, tapi fikiran kita terfokus bagaimana agar wang yang dinafkahkan itu diterima di sisi Allah. Tatkala kita berusaha untuk mendakwahi seseorang di tempat kita berada, kita fokuskan bahawa kita mengajak mereka kepada Allah, bukan untuk mencari pengaruh, mencari “ahli baru” atau mencari populariti.

Apapun yang dilakukan kalau konsentrasi kita hanya kepada Allah, itulah ikhlas. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali, bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya agar setiap amalnya diterima oleh Allah. Contohnya, jika berada di masjid untuk menunaikan solat tetapi pusat pemikirannya ”songsang”, agar orang mengatakan dia orang yang baik dan ”kaki masjid, maka hadirnya ke masjid tidak bernilai di hadapan Allah, tidak bernilai! Ingat lagi kisah muhasabah bersama 3 orang ”besar”, kisah yang akan menyebabkan kita memikir panjang mengkoreksi diri setiap amal yang telah kita lakukan.

Seorang pembicara yang ikhlas tidak perlu merekacipta kata-kata agar penuh pesona, tapi dia akan mengupayakan setiap kata yang diucapkan benar-benar menjadi kata yang disukai oleh Allah. Boleh dipertanggungjawabkan kebenarannya. Boleh dipertanggungjawabkan setiap katanya. Selebihnya terserah Allah. Kalau ikhlas walaupun sederhana kata-kata kita, Allah-lah yang kuasa menghujamkannya kepada setiap qalbu.

Buah apa yang didapat dari seorang hamba yang ikhlas itu? Seorang hamba yang ikhlas akan merasakan ketenteraman jiwa, ketenangan batin. Betapa tidak? Justeru dia tidak menjadi hamba penantian untuk mendapatkan pujian, penghargaan, dan imbuhan. Kita tahu bahawa penantian adalah suatu hal yang tidak menyenangkan. Begitu juga menunggu diberi pujian. Lebih lagi kalau yang kita lakukan ternyata tidak dipuji, pasti kita akan kecewa.

Namun bagi seorang hamba yang ikhlas, dia tidak akan pernah mengharapkan apapun dari siapapun, kerana kenikmatan baginya bukan dari mendapatkan, tapi dari apa yang boleh dipersembahkan atau diberikan kepada orang lain. Orang yang tidak ikhlas akan banyak tersinggung dan dikecewakan kerana dia memang terlalu banyak berharap.

Lalu, dimanakah letak kekuatan hamba-hamba Allah yang ikhlas? Seorang hamba yang ikhlas akan memiliki kekuatan ruhiyah yang besar. Ia seakan-akan menjadi pancaran energi yang melimpah. Keikhlasan seorang hamba Allah dapat dilihat pula dari raut muka, tutur kata, serta gerak-gerik perilakunya. Kita akan merasa aman bergaul dengan orang yang ikhlas. Kita tidak curiga akan ditipu, kita tidak curiga akan diadu domba olehnya. Setiap tumpahan kata-kata dan perilakunya tidak ada yang tersembunyi. Semua itu dia lakukan tanpa mengharap apapun dari orang yang dihadapinya, yang ia harapkan hanyalah memberikan yang terbaik untuk siapapun.

Sungguh akan nikmat bila bergaul dengan seorang hamba yang ikhlas. Setiap kata-katanya tidak akan bagai pisau yang akan menghiris hati. Perilakunya pun tidak akan menyempitkan diri. Tidak usah hairan jikalau orang ikhlas itu punya daya gugah dan daya ubah yang begitu dahsyat. Hidupnya penuh dengan agenda memberi kepada umat, ”khadimul ummah”. Hatta setiap amal yang dilakukannya tangan kirinya tidak langsung mengetahuinya. Luarbiasa!

Semoga kita dapat memelihara keikhlasan dalam setiap amal dan tindakan kerana dunia mendambakan hamba Allah yang ikhlas yang dapat mendasyatkan kembali muka bumi ini dengan barisan duah mukhlisin.

Perkongsian : Hati Ini Milik Siapa

Oleh : http://my.opera.com

Pernahkah kita rasa terlalu sedih lalu kita tersedar segala kesedihan itu bukan kerana Allah SWT. Kita bersedih bukan kerana kita makin jauh dari Nya atau kita merasakan dosa-dosa kita terlalu banyak untuk kita meraih cinta Nya.

Pernahkan kita rasa terlalu marah hingga air muka kita berubah; tiada lagi senyuman, jiwa kita terasa menggelak lalu lidah kita mengeluarkan kata-kata yang tidak disukai oleh Allah SWT. Adakah ketika itu marah kita kerana Allah SWT; kita marah kerana Allah dipandang rendah atau mungkin kerana Islam dipandang hina dan sebagainya.

Pernahkah kita rasa terlalu sedih lalu kita tersedar segala kesedihan itu bukan kerana Allah SWT. Kita bersedih bukan kerana kita makin jauh dari Nya atau kita merasakan dosa-dosa kita terlalu banyak untuk kita meraih cinta Nya.

Pernahkan kita rasa terlalu marah hingga air muka kita berubah; tiada lagi senyuman, jiwa kita terasa menggelak lalu lidah kita mengeluarkan kata-kata yang tidak disukai oleh Allah SWT. Adakah ketika itu marah kita kerana Allah SWT; kita marah kerana Allah dipandang rendah atau mungkin kerana Islam dipandang hina dan sebagainya.

Mungkin tidak selalu kita tanyakan soalan-soalan begini pada diri kita. Dibulan dan saat yang mulia ini, marilah kita tanyakan soalan-soalan tadi pada diri kita supaya kita tahu hati kita ini milik siapa. Tangisan dan tawa kita untuk siapa? Marah dan dendam kita milik siapa?

Marilah kita mencari pemilik hati ini agar disaat kita kembali kepada Allah SWT nanti kita tidak menangis kecewa kerana kita baru tersedar, rupa-rupanya hati yang berada di dalam jiwa kita ini, hati yang selalu kita kisahkan hingga kadang-kadang kita tidak lena tidur dan thilang selera makan serta hati yang kita belai, kita pupuk dan kita sayangi ini sebenarnya bukan milik Allah SWT.

Saya teringatkan kata-kata murabbi saya “ketika kita melihat begitu ramai manusia di Pudu Raya, cuba kita tanyakan pada diri kita, rasa-rasanya ada berapa ramai yang dihati mereka ada Allah.” Mungkin kita boleh ubahsuai soalan ini untuk diri kita; Ketika kita sibuk menguruskan kehidupan kita, ketika kita sibuk dengan urusan belajar atau kerja kita, berapa minitkah hati kita benar-benar merasai kehadiran Allah SWT. Bahkan kalau disemak-semak, mungkin ketika solahpun kita tidak benar-benar ingatkan Allah SWT.

Ada satu penyataannya yang membuatkan saya menangis “Cuba kita bayangkan, apabila kita bertakbir untuk solah lalu Allahpun memandang kita dengan pandangan rahmatnya. Allah memandang pada hati kita dengan penuh kasih sayang tetapi kita memalingkan hati kita ke arah lain.” Bukankah ini yang sering berlaku, ketika solatpun kita tidak mampu benar-benar menghadapkan wajah kita pada Dia yang menjadikan langit dan bumi apatah lagi ketika kita sibuk dengan urusan kehidupan kita.

Baru baru ini, ketika diawal Ramadhan saya mengajak pelajar-pelajar saya “Marilah kita tinggalkan segala kata-kata dusta kerana Allah tidak harapkan kita berpuasa sekiranya kita masih lagi berdusta. Marilah kita berkata benar pada diri kita. Bukankah selama ini kita banyak berdusta pada diri kita. Kita berikrar setiap kali kita selesai takbiratul ihram ‘Aku menghadapkan wajahku kepada Dia yang menjadikan langit dan bumi, dengan suci hati dan penuh ketundukan’ tetapi hati sedang tertumpu kepada selain Allah SWT. Allah memandang kearah kita ketika mendengar panggilan kita tetapi kita yang sombong lalu memalingkan hati kita ke arah lain. Tidak takutkah kita dengan teguran Allah SWT diawal surah Al Baqarah; “Dan diantara manusia ada yang mengatakan bahawa kami beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan (padahal) bukanlah mereka itu orang-orang yang beriman. Mereka cuba menipu Allah dan orang-orang beriman padahal tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri tetapi mereka tidak terasa” Bukankah ayat ini menggambarkan golongan Munafiq.? Jadi berapa lama lagi kita nak menipu Allah SWT dan menipu diri kita sendiri?”

Wednesday, June 16, 2010

Muhasabah: Pilihan Yang Kita Ada

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Assalamualaikum WBT

Salam setenang waktu Dhuha-NYA buat semua mujahid dan mujahidah Islam sekalian.

Apa khabar iman, hati dan jasadiah kita pada hari ini???

Marilah sama-sama kita duduk sebentar, beriman sesaat-bagi mengecas kembali iman kita atau membetulkan semula niat kita yang mungkin tersasar daripada matlamat sebenar kehidupan kita-iaitu untuk menburu redha Allah.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kita dah jauh ditinggalkan oleh generasi Rasulullah, sahabat dan tabiin...dan pada hari ini kita melihat Islam ditekan dan ditindas di mana-mana terutamanya di negara-negara yang diduduki oleh mejoriti orang Islam ( Palestin, Afghanistan,Iraq dll ).

Kenapa ini berlaku?

Adakah kita ingin berlepas tangan dengan mengatakan..."dah memang dunia akhir zaman, Islam kena tindas, sampai masa nanti Islam akan menang juga, kita tunggu saja saat turunnya Nabi Isa dan dibantu oleh Iman Mahdi, mereka orang yang soleh, kita ni siapalah..."

sahabat yang disayangi Allah sekalian,

Apa pilihan yang kita ada?


ingatlah satu pesanan daripada seorang ulama',...

"Tegakkanlah Islam dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah Islam dalam negaramu"

"Tarbiyah Bukanlah Segala-galanya, Tetapi Segala-galanya Bermula Dengan Tarbiyah"

Jadi sahabat sekalian, pilihan yang kita ada ialah, kita kena bergerak melakukan perubahan bermula dengan diri kita, seterusnya mereka yang berada disekeliling kita dan bilakah lagi perubahan itu perlu dilakukan???...NOW!

Kita sudah tidak ada masa untuk menunding jari kepada pihak-pihak lain, tapi kitalah dulu yang perlu bangkit memulakan arus perubahan ini dan membumikannya..insyaAllah.

"Bukan kita yang memulakan perjuangan ini tapi yang memulakannya adalah para nabi dan rasul. Kita, aku, engkau dan pejuang adalah merupakan mata rantai yang berkait daripada para rasul. Sekarang aku gugur maka terlucutlah satu rantai" - Syed Qutub -

Jom, sama-sama muhasabah iman kita!

Moga bermanfaat dan Allah REDHA.

~mujahidahmuslihah@yahoo.com~

Tuesday, June 15, 2010

Perkongsian: Ukhuwwah Fillah - Senyuman Sejati

Oleh : http://my.opera.com

UKHUWAH FILLAH: Senyuman Sejati

Friday, 28. May 2010, 06:52:07

Bagaimana kita mengenali sahabat kita? Adakah kita benar-benar merenungi wajah-wajah mereka dan cuba menjelajah pelusuk jiwanya hingga kita benar-benar mengenali hati budinya.

Mempertahankan ukhuwah yang terbina memerlukan kepekaan jiwa. Bagaimana seorang ibu yang begitu peka pada perubahan air muka anaknya, begitulah juga ukhuwah yang sejati; kita begitu peka dengan riak senyumannya, perubahan air mukanya, ayunan langkahnya dan sebagainya yang memantulkan segala keresahan atau keadaan jiwanya.

Ya, memang tidak semua manusia peka kepada semua ini tetapi kita yang benar-benar ingin merealisasikan ukhuwah sebenar seharusnya cuba untuk benar-benar mengenali jiwa dan hati budi teman kita. "Adalah menjadi satu keaiban mukmin apabila sahabatnya terpaksa menebalkan muka untuk meminta pertolongan". Kita seharusnya lebih peka dan mampu menyerap kegelisahan hatinya lalu menghulurkan bantuan sebelum diminta. Kita boleh membezakan senyumannya sejati yang lahir dari jiwanya atau senyuman yang dibuat-buat untuk melupakan segala keresahan jiwa yang ditanggung. Saya mungkin ada kelebihannya dalam hal ini kerana memang sejak kecil, hobi saya ialah melihat dan memerhati tingkah laku manusia. Saya sanggup habiskan masa berjam-jam hanya untuk meneliti air muka dan tingkah laku sekelompok manusia di stesyen bas sambil cuba menerka perasaan dan memahami bagaimana tingkah laku dan air muka memantulkan perasaan dan tingkah laku jiwa. Saya juga suka membaca dan melihat dokumentari atau filem yang memberi penekanan aspek ini.

Mungkin sedikit yang saya dapat kongsikan untuk membantu kita mempertahankan ukhuwah, berdakwah dan mendidik manusia untuk mengenali Allah SWT.

Senyuman manusia sebenarnya menggambarkan banyak tingkahlaku jiwa. Ada yang senyum tapi marah, ada yang menyindir, ada yang cuba menyembunyikan kesedihannya dan sebagainya. Seorang saintis dari Perancis Guillaume Duchenne de Boulogne pernah membuat kajian berkaitan hal ini, iaitu mengkaji otot-otot muka yang terlibat ketika seseorang itu senyum. Menurut kajiannya, senyuman manusia dikawal oleh 2 set otot. Iaitu set otot Zygomatic dan Orbicularis oculi. Pergerakan mulut dikawal oleh otot Zygomatic yang bertindak menarik mulut hingga menampakkan gigi, dagu bahkan telinga; mungkin kita pernah dengar orang senyum sampai ke telinga. Otot orbicularis pula mengawal mata; setiapkali manusia tersenyum matanya akan mengecil; ada juga yang ketawa sampai keluar air mata. Perkara yang paling penting untuk kita fahami disini ialah pergerakan Zygomatic dikawal secara sedar manakala Orbicularis adalah tindakan reflek (tanpa sedar). Jadi senyuman buatan hanya melibatkan mulut dan paling jauh sampai ketelinga. Secanggih mana senyuman sahabat kita tetapi jika tidak memberi kesan pada matanya menggambarkan senyuman itu bukan asli. Renunglah matanya dalam-dalam dan abaikan pergerakan mulutnya insyaAllah kita boleh merasai keresahannya jika jiwanya sedang tertekan atau bersedih. Matanya akan menceritakan segala-galanya..samada jiwanya tersenyum atau sedang bersedih.

Renunglah teman anda hari ini dan cuba kenalinya dengan lebih mendalam. Jika kita seorang pendidik atau pendakwah...renungilah wajah mereka dan selamilah segala keresahan dan keperluan mereka kepada hidayah Allah SWT.

Monday, June 14, 2010

Perkongsian dari Seorang Murobbi: Erti Kebahagiaan

Salam perjuagan dan mujahadah buat semua. Semoga REDHA ALLAH sentiasa mengiringi kita semua, iAllah. Pertamanya kemaafan ana mohon bagi pihak halaqohcintakita.blogspot.com kerana lama menyepi, di atas sedikit masalah dan kekurangan, Iallah sama-sama kita cuba tingkatkan diri dari semasa ke semasa, moga Allah Redha. Hajat doa bersama.

Pada kali ini ana berhajat ingin berkongsi satu tazkirah hati daripada seorang Murobbi yang ana hormati, moga bermanfaat, IAllah.

Erti Kebahagiaan

Oleh : http://my.opera.com

Jika ditanya, semua orang ingin hidup bahagia. Namun malangnya tidak semua bahkan terlalu sedikit yang mengecapi erti kebahagiaan yang sebenar. Kenapa?

Ya, tidak semua manusia benar-benar memahami, apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan. Dan tidak semua yang mengetahui erti kebahagiaan itu tahu pula jalan untuk meraihnya.

Ada yang menyangka kebahagiaan itu terletak pada harta kekayaan lalu seluruh masanya dikorbankan untuk mengumpul sebanyak mungkin harta. Suami isteri turun ke medan perniagaan dan kerjaya hingga anak-anak dibiarkan kesunyian dan hidup kekosongan. Tidak ada masa yang diperuntukkan untuk bersama-sama mereka apatah lagi untuk bergurau senda dan berkasih mesra. Senyuman bukan lagi untuk anak-anak tetapi hanya untuk rakan perniagaan dan pelanggan. Jika ditanya kenapa semua itu berlaku maka jawapannya "Demi untuk kebahagiaan keluarga tercinta".

Ya. demi kebahagiaan keluarga tercinta anak-anak ditingalkan di villa mewah dengan segala kemudahan dan kemewahan. Namun malangnya, anak-anak melihat mahligai itu umpama penjara jiwa yang penuh dengan kesunyian dan kekecewaan. Anak-anaknya lalu keluar menerokai malam lalu terdampar di kelab-kelab yang menawarkan keseronokan sementara untuk melupakan pedih dan sunyinya kehidupan. Mereka meneguk minuman yang mematikan jiwa agar jiwa tidak lagi terasa pedih melihat kehidupan atau kecewa merenung masa depan. Segalanya ingin dilupakan dan segala keperitan terpaksa ditelan lalu ditanya padanya, apa semua ini? Katanya "Ingin mencari kebahagiaan".

Jadi dimanakah letaknya kebahagiaan? Bagaimana cara untuk menggapainya?

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah antara manusia yang diuji dengan ujian yang luar biasa. Ada yang diletakkan besi panas pada dadanya hingga mengeluarkan lemak dan lemak itu lalu memadamkan bara api. Khubaib Ibnu Adi RA di kerat anggota badannya satu persatu hingga menemui kematian. Mus'ab bin Umair hidup dalam serba kekurangan, sehari makan sehari berlapar dan berbagai bentuk kepayahan dan penderitaan yang mereka lalui. Ya, dari sudut fizikalnya mereka menderita dan hidup dalam kesempitan tetapi apa yang ada dijiwa mereka? Ketenangan, kepasrahan, lapang dada dan kepuasan dengan kehidupan dan pengorbanan. Kita memiliki segala kemewahan dan kesenangan tetapi apa yang ada dihati kita? Keraguan, kegelisahan, keluh kesah, kekecewaan dan segala racun yang mematikan hati. Kenapa?

Ya, mereka memilki iman; iman yang menghidupkan jiwa, iman yang melahirkan kekuatan dan ketahanan jiwa yang luar biasa. Iman mereka melahirkan keyakinan kepada segala janji-janji dan ancaman-ancaman Allah SWT, Iman mereka membangunkan keyakinan kepada bantuan dan pertolongan Allah, Iman mereka menjadikan mereka bangga menjadi Mukmin dan menjadikan mereka hidup dengan kemuliaan dan mengorbankan segalanya untuk manusia bersama-sama mengecapi kebahagiaan yang mereka rasai. Mereka tabah mengharungi segala kepayahan dan tersenyum menghadapi kematian. Ya, mereka memiliki segalanya yang disebut KEBAHAGIAAN.

Wednesday, June 2, 2010

ALHAMDULILLAH...Bantuan Allah Tiba - Masa Untuk Kita Mengorak Langkah Seterusnya.

Bismillahirrahmanirrahiim

Assalamualaikum WBT.

'terus berdoa dan perbaiki diri tanpa jemu'
Sahabat-sahabat seperjuangan yang dimuliakan Allah SWT.

Kesyukuran yang tidak pernah putus dipanjatkan kepada Allah Rabbul Jalil di atas segala nikmatNYA.
ALHAMDULILLAH...ALHAMDULILLAH...ALHAMDULILLAH...ALHAMDULILLAH...X1000
Tiada lafaz terindah mampu kita ungkapkan bila segala nikmatNYA tidak pernah putus untuk semua hamba dan makhluqNYA. Berita tentang para sukarelawan Malaysia semua dalam keadaan selamat dan baik telah menguatkan kita antara satu sama lain. Moga langkah mereka semua - Konvoi bantuan ke Gaza - menjadi titik tolak untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang ingin kita semua lakukan bukan perubahan bermusim tetapi perubahan untuk membumikan kembali dan muhasabah semula - sejauh mana tingkat keimanan kita kepada Allah SWT dan mendaulatkan syariatNYA. 

Langkah yang telah mereka mulakan bukan tamat setakat ini (apabila mereka telah dilepaskan) tetapi ia adalah satu permulaan untuk kita semua bangkit memperbaiki diri dan mengajak semua orang / ummat disekeliling kita agar menuju kehidupan yang Allah redha dalam semua aspek kehidupan kita. Moga Allah sentiasa memberi Hidayah dan TaufiqNYA kepada kita semua.

Terus bangkit dan pasakkan azam!

"Tarbiyyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan Tarbiyyah"

Moga Allah Redha
~mujahidahmuslihah@yahoo.com~

Tuesday, June 1, 2010

Salam Perjuangan...Terus Berdoa & Bersungguh Melakukan Perubahan Iman

Bismillahirrahmanirrahiim.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Assalamualaikum WBT.

 Terus berdoa tanpa jemu dan bangkit baiki diri

Pertamanya dan buat selamanya, dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran  ingin bangkit melakukan perubahan diri ke arah yang Allah SWT redhai, tanpa rasa jemu dan lesu, kesyukuran kita panjatkan kepadaNYA yang mendasar di hati lantas kita berazam dan bersungguh untuk membumikannya dalam kehidupan kita...semata - mata mengharapkan redhaNYA. Ayuh sahabat sekalian, para mujahid dan mujahidah agama, terus melangkah dengan himmah / cita-cita yang membara dan iradat / keinginan yang tinggi untuk mendaulat dan menyokong syariat-NYA...insyaAllah.

Sahabat seperjuagan yang dimuliakan Allah SWT...

Hari ini dunia melihat satu peristiwa yang besar berlaku...peristiwa yang telah membuka mata setiap mata yang memandang, peristiwa yang telah menyentuh hati setiap hati yang pernah alpa dan leka dengan kehidupan dunia ini, peristiwa yang telah membuka satu dimensi perubahan, bagi mereka yang mengambil pengajaran - Inilah peristiwanya 'Konvoi Freedom Flotila ( Lifeline for Gaza)'. 

 Sukarelawan dari Malaysia solat hajat sblm berlepas


Kapal-kapal Konvoi - mereka telah diserang




Para pewaris agama yang sentiasa memperbaiki keimanannya...

Ana bukanlah orang yang selayaknya untuk berbicara tentang peristiwa yang berlaku ini, kerana ana pun masih cuba untuk memperbaiki dan meningkatkan  keimanan ana, rasa tersentap dengan teguran daripada Allah SWT, pagi tadi setelah membaca coretan di blog seorang hamba Allah, hati ana meronta untuk terus bangkit melakukan perubahan walaupun terkadang jiwa rasa lemah, tapi sahabat sekalian,.. sekarang bukan masanya lagi untuk kita terus mengeluh dengan masalah, untuk kita rasa lemah dan ingin lari daripada semua orang, untuk rasa tidak layak atau berbagai macam lagi rasa negatif tetapi sekarang adalah masa untuk kita bangkit melakukan arus perubahan, teruslah melangkah dan mencari proses Tarbiyyah Islamiah yang dapat mengikat diri kita untuk terus mendaulat dan menyokong syariat Allah SWT. Inilah tugas kita Hamba Allah dan Khalifah-NYA di muka bumi ini.

Sahabat sekalian, yang mempunyai rasa kehambaan...

Marilah sama-sama kita panjatkan doa yang tidak putus-putus untuk semua saudara kita yang berada dibarisan hadapan bagi menghantar sumbangan bantuan ke GAZA, terus melakukan solah hajat dan mengajak ummat kepada keimanan menuju Allah SWT,..jangan jemu-jemu untuk terus melakukan perubahan diri dan mengajak orang lain sama-sama berada dalam proses Tarbiyah Islamiah.


Bersama-sama ini ana lampirkan 3 buah perkongsian daripada hamba Allah yang mengajak kepada kebaikan.
Moga beroleh manfaat...insyaAllah.

Moga Allah Redha
~alfaqirah ilallah~
mujahidahmuslihah@yahoo.com


PERKONGSIAN 1


By ; http://brohamzah.blogspot.com

Menanti Sebuah Harapan
 
31 Mei 2010, seharian saya menanti dengan penuh debaran setiap berita berkaitan Konvoi Freedom Flotila ( Lifeline for Gaza). Setiap web, serta media maya yang boleh dicapai, akan saya cuba layari untuk mendapatkan maklumat terkini. Bermula minggu lepas , saya dengan begitu penuh berminat mengikuti setiap perkembangan berkaitan LL4G ini tanpa jemu. Sentiasa memberi dokongan padu dan cuba menyebarkan maklumat berkaitan seluasnya.

Bagi saya, konvoi ini membawa satu misi yang sangat jelas, terang, dan nyata. Konvoi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza ini telah mendapat perhatian banyak pihak yang prihatin dan peka akan isu Palestin. Saya ingin mengucapkan syabas kepada badan-badan NGO yang terlibat terutamanya yang menjadi penggerak utama iaitu IHH yang berpusat di Turki. Anda telah mengerakan sesuatu yang hebat. Anda tidak hanya berkata-kata seperti kebanyakan badan-badan kemanusiaan yang ada, seperti Negara-negara atau mana-mana pertubuhan yang hanya mampu mengendangkan semboyan tetapi hakikatnya ia tidak membawa ke mana-mana.

Mereka telah melakukan sesuatu yang luar biasa yang sebelum ini dikatakan mustahil. Alhamdulillah, usaha ini memberi suatu gambaran yang positif kepada perkembangan ketamadunan manusia. Saya melihat, Israel sebenarnya bukannya takut kepada konvoi, mana-mana pimpinan, negara atau desakan suara dunia. Tetapi yang sebenarnya menjadi ketakutan mereka ialah asas yang meggerakan konvoi ini. Semangat keimanan, keyakinan dan jihad mulai menyerap dalam nadi para aktivis kemanusiaan ini. Lihatlah munajat, doa dan pergantungan mereka kepada Allah SWT, terutamanya bagi yang beragama Islam.

Inilah menjadi kegerunan mereka. Sejarah ummat Islam itu, dibangkitkan melalui suatu dasar yang sangat jelas. Ia akan mengerakan seluruh semangat ummat dengan teras yang sangat kukuh, kuat dan teguh. Teras dan dasar inilah yang menjadi igauan mereka.

Kekuatan keimanan kepada Allah SWT secara menyeluruh, pergantungan kepada janji-janji Allah SWT dan syuur cintakan syahid serta jihad menjadi perkara yang mendominasi para aktivitis kematian. Tanpa gementar, takut malah penuh keberaniaan dalam menyatakan pendirian mereka adalah muqadimmah kemenangan Islam.

Apa kesudahan? Kita terus menanti dengan penuh debaran. Dalam waktu terdekat, seharusnya ummat Islam menyatakan pendirian mereka secara terang-terangan terhadap sikap Zionis Israel yang kejam, biadap dan tidak berperikemanusiaan ini. Doa, munajat dan apa jua sumbangan harus kita laksanakan sebagai tanggungjawab kepada umat Islam di Palestin.

Kita menanti sebuah harapan dan keajaiban.

Berikut adalah sumber-sumber yang boleh dicapai untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan Freedom Flotillah LL4G ini

http://haluanpalestin.haluan.org.my/
http://www.lifeline4gaza.org/
http://twitter.com/sahabatalaqsha
http://www.harakahdaily.net/v2
http://www.haluan.org.my/v3/


PERKONGSIAN 2
By ; www.langitilahi.com
Cerpen: Mana Tuhan Kamu?

Cerpen ini saya tulis khas untuk ummah.
Moga-moga manfaatnya besar.
Moga-moga kesannya mendalam.
Agar menyemarakkan api perubahan.
Dan memadamkan gelita kefasadan.
Terimalah. Cerpen: Mana Tuhan Kamu?
Bacalah dengan penuh penghayatan.

Tahun 837. Kota Amoria, Romawi. Seorang muslimah berjalan dengan tenang di tengah pasar. Membeli barangan untuk tuan yang memilikinya. Dia merupakan hamba tawanan perang dan telah dijual. Kini meneruskan hidup menjadi hamba sahaya menguruskan hal ehwal rumah tuannya.
Tanpa dia sedari, ada mata-mata memerhatikan gerak langkahnya. Peribadinya yang berbeza membuatkan dia menjadi tarikan. Rambut tidak terdedah dilitupi kain penuh beradab, pakaian labuh tidak menonjol bentuk tubuh, dia nyata adalah yang ganjil di tengah pasar Kota Amoria.
“Aku kira, hari ini adalah harinya. Sudah lama aku menahan rasa” Bicara seorang pekedai kepada temannya dengan mata penuh dendam kepada muslimah itu.
“Ya. Mari. Sudah berminggu-minggu aku perhatikannya. Tersirap darah aku saban kali melihatnya” Rakan pekedai itu mengepal kedua belah penumbuk.
“Kita tidak perlu takut. Amoria adalah tanah kita. Semua di pasar ini akan menyokong kita!” Pekedai itu bergerak. Rakannya membuntuti.
Semakin lama semakin mendekat. Muslimah itu tidak menyedari, melainkan apabila telinganya menangkap seruan dari belakang.
“Wahai perempuan!” Segera muslimah itu berpaling untuk melihat. Tetapi terkejutnya dia apabila kedua tangannya pantas ditangkap.
“Lepaskan, lepaskan!” Perempuan itu didorong ke dinding berdekatan. Suasana pasar yang memang riuh menjadi semakin hangat apabila keadaan ini berlaku.
Si Pekedai mengikat kedua belah tangan Muslimah pada palang kedai berdekatan.
“Jangan apa-apakan aku!” Muslimah itu menjerit sayu. Mata-mata di pasar sekadar memandangnya kaku. Semua diam seperti batu.
“Hari ini, siapakah yang akan menyelamatkan kamu?” Pekedai itu menjerit diiringi ketawa berdekah-dekah. Tangannya bergerak pantas melucutkan kain yang melitupi kepala sang muslimah. Terserlahlah rambut panjang melepasi bahu yang perang. Warna rambut asli perempuan dari mediterranean.
“Jangan, jangan!” Air mata perempuan itu mengalir deras. Tiada yang membantu. Semua hanya melihat.
Rakan kepada pekedai bertindak dengan lebih jauh. Menyelak kain yang menutupi bahagian bawah pinggang perempuan itu dan mengoyakkannya.
“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Dia menjerit kuat.
“Lihat semua, inilah dia orang Islam yang hina. Percaya kepada yang tiada. Percaya kepada yang tidak berguna!” Pekedai tadi memandang sekeliling.
Air mata perempuan itu kabur dengan titisan air mata. Maruahnya diinjak sedemikian rupa. Dari kaburan matanya itu, dia menyangka bahawa keadaannya mendapat simpati manusia di sekelilingnya. Tetapi, tidak lama selepas jeritan lelaki itu, satu pasar mentertawakan keadaannya. Bahkan ada yang membalingnya dengan tomato.
“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Seluruh pasar menjerit menghinanya.
Hatinya remuk.Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu ini menghinaMu…
Maka dengan kekuatannya yang masih bersisa, dia menjerit sekuat jiwanya.
“Waa Mu’tasimah. Waa Mu’tasimah. (Di mana kamu Al-Mu’tasim? Di mana kamu Al-Mu’tasim?)!”
Dan jeritannya disambut hinaan dan ejekan.
Namun dalam lautan manusia berhati syaitan itu, ada sepasang mata yang memerhatikan. Segera pemilik mata itu bergerak meninggalkan tempat itu. Berjalan mendapatkan tunggangannya. Kemudian bergerak pantas keluar dari Kota Amoria, menuju ke satu tempat bernama Samarrah. Tempat bersemayamnya manusia bernama Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun Ar-Rasyid.
Atau lebih dikenali sebagai Khalifah Al-Mu’tasim.
****
Semboyan perang dibunyikan tanda peperangan telah berakhir. Kota Amoria tewas teruk. 30,000 perajurit romawi terbunuh, manakala 30,000 lagi ditawan oleh tentera dari Abbasiyah.
Tiba-tiba gendang berbunyi. Bendera kebesaran dikibar. Tentera-tentera berbaris kemas. Derapan kuda kedengaran gagah. Sepasukan tentera berkuda bergerak di tengah-tengah barisan. Mengiringi satu figur yang berpakaian sederhana bersama kuda berzirahnya.
“Di manakah muslimah yang memanggil aku?” Figur itu melaung dengan kuat.
Suasana menjadi sunyi seketika. Hanya diisi dengan bunyi deru angin dan api yang masih membakar beberapa bahagian daripada benteng pertahanan.
Tidak lama kemudian terdengar satu suara.
“Aku wahai Khalifah. Aku” Seorang perempuan bergerak menundukkan diri menghadapnya.
Figur itu turun. Bergerak mendekati muslimah itu.
“Wahai perempuan, apakah aku telah memenuhi seruan kamu?” Lelaki itu bertanya.
Dengan air mata yang mengalir, perempuan itu mengangguk berkali-kali. “Ya Amirul Mukminin, ya. Kau telah memenuhi seruanku”
Amirul Mukminin Al-Mu’tasim tersenyum.
“Apakah yang menghinamu itu ada dari kalangan mereka ini?” Al-Mu’tasim menunjuk kepada tawanan perang dari kalangan rakyat yang berbaris di tepi barisan tenteranya.
Muslimah itu mengangguk dan menunjuk dengan telunjuknya pekedai dan rakannya yang telah menjatuhkan maruahnya.
“Kau mulai sekarang, aku jadikan hamba yang merdeka. Kuberikan rumah, kuberikan tanah. Dan mereka berdua ini aku hadiahkan kepada kamu sebagai hamba”
Perempuan itu terkedu.
“Al-Mu’tasim, kau lancarkan perang ini hanya kerana seorang perempuan?” Satu jeritan kedengaran.
Al-Mu’tasim menoleh. Kelihatan seorang lelaki sedang dipukul oleh tenteranya. Mungkin kerana jeritannya itu dikira sebagai tidak beradab kepada khalifah.
“Siapakah dia?” Al-Mu’tasim bertanya kepada pengiringnya.
“Dia itu adalah ketua jeneral untuk Kota Amoria.” Pengiringnya berbisik.
Al-Mu’tasim mengangkat tangan, isyarat agar tenteranya berhenti memukul lelaki itu. Al-Mu’tasim merapati Jeneral Kota Amoria itu.
“Wahai jeneral, bukankah aku telah menghantar surat amaran? Sekiranya keeadilan tidak ditegakkan oleh pemimpin kamu, maka bersedialah untuk menerima tenteraku yang ramainya dari sempadan negara kamu hingga ke akhir sempadan negaraku? Dan pemimpin kamu tidak membalas suratku itu.” Al-Mu’tasim berbicara tenang.
Lelaki itu terdiam.
Al-Mu’tasim bergerak meninggalkan lelaki itu. Dia pergi ke arah pekedai dan rakannya. Memandang tepat kepada dua lelaki itu.
“Dan ketahuilah, masih ada lagi tenteraku yang sedang berbaris di hadapan istanaku untuk ke mari. Sesungguhnya, aku benar-benar mengotakan janji. Inilah dia kekuatan Tuhanku. Inilah dia warisan Rasulku. Sungguh, Dia tersangat mulia, tidak perlu turun sendiri untuk berurusan dengan manusia sepertimu. Sungguh, Rasulullah itu tersangat mulia, tidak perlu bangkit dari kubur untuk menguruskan kamu. Aku, hamba-Nya dan ummat kepada baginda, sebagai wakil menjalankan hukumNya dan membela ummat baginda.” Mata Al-Mu’tasim membesar.
Pekedai dan rakannya melutut kegerunan.
Al-Mu’tasim berpaling dan kembali menunggang kudanya.
“Mari kita pulang.” Al-Mu’tasim mengangkat tangannya. Gendang kedengaran. Seluruh tentera yang mengiringinya mendahului Al-Mu’tasim.
****
Tahun 1186. Di tengah sahara antara Kairo dan Damascus. Satu kafilah bergerak merentas bumi gersang di bawah terik mentari. Langit biru tanpa awan menambah hangat.
“Kafilah mereka sudah berada dalam pandangan kita, tuanku.”
Seorang lelaki bertubuh besar berjanggut kerinting keemasan memandang kepada pelapor. Dia mengangguk. “Ya, aku tahu”
“Bila kita hendak bertindak?”
Lelaki itu tersengih. “Tunggu arahan aku. Arahkan tentera kita berkumpul terlebih dahulu.” Bicaraya sambil memandang karavan tunggal di tengah padang pasir yang luas.
“Hari ini, orang Islam akan tahu betapa mereka hakikatnya tidak punya kuasa” Dia ketawa.
Tidak lama kemudian, si pelapor datang semula. “Semua tentera kita telah bersedia, tuanku!”
“Bagus. Dengan namaku, Raynald De Chatillon, serang!” Dia mengacukan pedangnya ke arah kafilah yang sedang bergerak itu.
Tenteranya bergerak ibarat taufan yang menyerbu. Debu-debu sahara naik membuatkan langit biru kelihatan perang. Jeritan ahli kafilah kedengaran melantun-lantun diiringi teriakan kesakitan. Darah merah memercik di sana sini menghiasi medan.
Raynald De Chatillon ketawa berdekah-dekah. Pengawal-pengawal karavan yang sedikit tidak mampu berhadapan dengan tenteranya. Satu persatu tumbang. Bahkan, ahli-ahli kafilah turut dibunuh tanpa berbelas kasihan.
“Tinggalkan seorang sahaja. Adik kepada Salahuddin Al-Ayubi, dia mesti menjadi tawanan kita!”
Dan hari hitam di tengah sahara itu berakhir dengan penuh tragis. Barang-barang dirampas. Haiwan tunggangan diambil. Ahli kafilah perempuan dirogol dan dibunuh. Yang lelaki dipenggal kepala semuanya. Tandu-tandu dibakar. Suasana persis neraka.
“Ini dia Tuanku Raynald. Adik kepada Salahuddin” Seorang perempuan memakai burqa ditolak dengan belakang pedang menghadap Raynald.
Raynald segera menghunus pedangnya yang masih berlumuran darah. Segera dicantas burqa perempuan di hadapannya. Terserlah wajah perempuan itu yang bersih.
“Adik Salahuddin. Di manakah Allah dan Muhammad kamu hari ini? Panggil lah mereka”
Adik Salahuddin senyap. Namun wajahnya tidak menunjukkan riak takut.
“Allah akan menguruskan kamu wahai Raynald!” Bicaranya berani selepas memandag wajah Raynald dihiasi tawa angkuh.
Gelak Raynald tambah berdekah.
“Selepas ini, aku akan ke Makkah untuk merobohkan Ka’bah, dan ke Madinah untuk mengorek kubur Muhammad. Baru kamu tahu betapa lemahnya kamu!”
Dan Raynald membawa adik Salahuddin bersamanya.
****
Tahun 1187. Medan peperangan Hattin. Debu masih menyelimuti langit. Mayat-mayat pula penuh bergelimpangan di atas bumi. Burung-burung pemakan bangkai mula mengintai makanannya.
Kelihatan dua orang lelaki dalam keadaan terikat, sedang dibawa ke satu khemah yang besar.
“Tuanku, inilah dia Guy of Lusignan dan Raynald De Chatillon” Wakil askar yang membawa dua orang itu bersuara.
Satu figur yang memakai zirah perang kuning keemasan lengkap bertopi, memalingkan wajah. Menghadap kepada dua tawanan perang itu. Matanya bersinar.
“Salahuddin” Raynald mengetap bibirnya.
Salahuddin Al-Ayubi tersenyum.
“Kamu mengabaikan suratku agar memulangkan adindaku. Bahkan berkeras untuk tidak menyerah dan membunuh pula utusanku” Salahuddin bergerak melepasi dua tawanan itu.
Dia memandang jauh ke medan perang.
Mayat-mayat tentera salib sedang dikumpul untuk dibakar. Pakaian besi dan senjata mereka telah diekstrak sebagai harta rampasan. Guy of Lusignan bersama Raynald De Chatillon keluar dari Sephoria menuju ke Tiberias untuk berhadapan dengan tentera Salahuddin Al-Ayubi selepas terpancing dengan serangan Salahuddin ke atas benteng tentera salib di Tiberias. Tentera Salahuddin yang utama hakikatnya berada di tempat bernama Kafr Sabt, bersedia untuk menyerang hendak tentera salib pimpinan Guy dan Raynald.
Perjalanan yang panjang, tanpa sempat mencapai sumber air, membuatkan tentera Salib menjadi lemah. Ketika itu juga tentera Salahuddin dari Kafr Sabt bergerak menghentam mereka dari dua arah. Dalam masa dua hari, tentera mereka hancur. Cubaan terakhir, mereka bergerak ke sebuah kawasan air di Hattin untuk menyusun semula tenaga mereka.
Namun Salahuddin telah menjangka semuanya. Di lembah Hattin, tentera Salib dihabisi.
Begitulah Allah mengotakan janji-janjiNya.
Di manakah Allah?
Bersama hambaNya yang percaya.
Salahuddin berpaling kembali dan merapati Guy dan Raynald. Dia memberikan isyarat kepada pembantunya agar membawakan air. Apabila air telah sampai, Salahuddin meminum air itu dan kemudian memberikan segelas air kepada Guy.
Guy mengambil dengan rakus, kerana sememangnya dia kehausan. Namun di tengah kehausannya, dia tidak lupa akan Raynald. Diberikanna sedikit air untuk rakannya itu.
Salahuddin mencelah: “Aku tidak memberikan kebenaran pun untuk itu”
Kedua mereka diam. Raynald kemudian menjawab: “Tidak. Tetapi rajaku, Guy yang memberikan aku minum”
Salahuddin tidak berkata apa-apa.
“Kau masih ingat apa yang kau katakan tahun lepas, Raynald?”
“Em, apa yang aku katakan?”
“Di manakah Allah dan Muhammad untuk membantu kamu?” Mata Salahuddin membesar.
Bulu roma Raynald menegak.
“Di sini Allah menurunkan hukumanNya buat kamu!” Salahuddin mengunuskan pedangnya, terus memeganggal kepala Raynald De Chatillon. Darah menyembur hingga membasahi tubuh Guy of Lusignan. Tubuh Raynald menyembah bumi dengan kepala terpisah dari diri.
Salahuddin memandang Guy.
“Raja tidak akan membunuh raja. Apakah ini tidak cukup untuk kamu mengambil pengajaran?”
Dan Salahuddin bergerak pergi.
“Kita ke Jerusalem. Menawan Al-Quds!” Sambil mengangkat tangannya. Disambut takbir yang menggempita daripada seluruh tentera.
****
2010. Atas kapal Marmara Mavi. Di sempadan laut Gaza.
“Tengah buat apa?” Satu sapaan menggetarkan gegendang telinga.
Noorazman menoleh. Kelihatan Ustaz Hasanuddin. Dia menyambut lelaki itu dengan senyuman.
“Sedang terkenangkan ummat” Noorazman melepaskan pandangan ke laut. Kelam sebelum subuh masih pekat. Justeru gelita ibarat malam tidak sirna. Tinggal hawa menjadi semakin sejuk dengan kewujudan embun dari langit. Dia duduk di tepi kapal bersama baju yang tebal.
Ustaz Hasanuddin duduk. “Moga-moga, usaha kita ini akan menjadi batu loncatan agar ummah bangkit dari lena”
Noorazman mengangguk. “Sungguh, misi kita bukan sekadar hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Tetapi kita harapkan misi ini mampu memangkin semula keimanan ummah”
“Sama ada dengan kita selamat sampai ke Gaza, atau ditimpa musibah Israel di tengah lautan, kedua-duanya akan memberikan impak kepada dunia” Ustaz Hasanuddin membuka dompetnya.
Gambar dirinya bersama isteri dan anak-anak.
“Walau diri ini berkorban dan akhirnya terkorban, kalau itu harganya untuk kebangkitan ummah, maka ana tak akan menyesal”
Noorazman menghela nafas. “InsyaAllah, akan ada jiwa-jiwa yang menyahut” Sambil tangannya memaut bahu Ustaz Hasanuddin.
“Amiin”
Tiba-tiba, keheningan kelam terganggu dengan satu bunyi yang menderu. Noorazman dan Ustaz Hasanuddin mendongak ke langit. Kelihatan lampu-lampu sedang terapung.
“Apakah…” Dan belum sempat Noorazman menyempurnakan kalimah itu, lampu-lampu yang terapung sudah berada di atasnya bersama bunyi yang sangat kuat.
Putaran kipas Apache AH-64D kedengaran membingit.
“Ustaz Hasanuddin, Israel!” Noorazman menolak Ustaz Hasanuddin agar berlindung ke dalam kapal.
Tanpa amaran, tembakan bertalu-talu dilepaskan. Suasana kapal yang tadinya tenang kini bergejolak. Komando-komando Israel turun dari helikopter dan tanpa belas melepaskan tembakan bertalu-talu ke semua arah tanpa mengira sesiapa.
Noorazman dan Ustaz Hasanuddin berlindung di sebalik dinding. Mereka sempat juga melihat kapal-kapal lain yang menyertai konvoi Lifeline4Gaza, Break The Siedge, sedang mengalami nasib yang sama.
“Ya Allah, sungguh Allah telah memilih kita!” Ustaz Hasanuddin memandang Noorazman.
Belum sempat Noorazman memberikan respon, satu bunyi membuatkan tubuhnya kaku. Terasa seperti ada besi panas menyentuh ubun kepalanya.
“Jangan bergerak. Bangun dengan perlahan-lahan” Suara itu kedengaran. Menurut arahan, Noorazman dan Ustaz Hasanuddin bangun. Kelihatan tentera berpakaian serba hitam sedang mengacu SC3000 ke arah mereka berdua.
Noorazman dan Ustaz Hasanuddin dibawa ke hadapan dek kapal. Di situ mereka melihat ramai lagi ahli konvoi sedang dikumpulkan. Sempat mereka melihat berbelas mayat bergelimpangan. Air mata tidak dapat ditahan, lantas mengalir kesayuan.
“Apakah kalian tidak kisah bahawa perkara ini akan ditunjukkan kepada dunia?” Noorazman berbicara kepada tentera yang membawanya.
Tentera itu hanya tersegih. “Sedangkan pembunuhan dan peperangan di Palestin selama ini pun dihalalkan oleh dunia untuk kami, apatah lagi kematian sekitar 20 orang hari ini?”
“Allah akan menghitung kamu!” Ustaz Hasanuddin mengetap bibir, geram.
Tentera-tentera itu ketawa.
“Maka di mana Tuhan kamu itu?” Dan mereka terus ketawa. Salah seorang dari mereka memegang kepala Ustaz Hasanuddin dengan keras. Matanya didekatkan dengan mata Ustaz Hasanuddin.
“Kami telah menawan Palestin 62 tahun. Dan sepanjang waktu itu, entah berapa kali kami telah mendengar laungan nama Allah dari mulut mereka. Tetapi tetap kami yang berkuasa. Hari ini, semua yang mati itu, semuanya menjerit nama Allah di hujung nyawa mereka, tetapi tetap kami berdiri di sini menawan kamu semua.”
Kemudian dia diam sebentar. Ustaz Hasanuddin pula turun naik nafasnya.
“Maka, di mana tuhan kamu?”
Dan soalannya disambut dekah tawa.
Seluruh kapal konvoi di bawa Haifa.
Tragedi yang berlaku ini, menggemparkan dunia. Tetapi kekebalan Israel membuatkan segala suara menjadi sia-sia. Tambah menjadi anak angkat kepada penguasa dunia, atau lebih tepat lagi, kuasa dunia itu adalah boneka mereka, Israel tidak mampu disentuh hanya dengan jeritan sahaja.
Ada manusia akhirnya tidak peduli. Padanya ini hanyalah satu kisah, dari puluhan kisah tragedi di tangan Israel. Ada pula manusia yang turut serta bising itu dan ini. Tetapi akhirnya dia juga senyap kerana tidak mampu mencapai apa yang dihajati dalam masa yang amat terdekat ini.
Ramai pula manusia sudah hilang kekuatan untuk berusaha. Sangka mereka Tuhan telah meninggalkan mereka.
Tetapi Allah hakikatnya sentiasa ada dan dekat dengan hambaNya. Ini adalah ujian, tapisan, untuk memerhatikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya. Nanti saat bantuan tiba, yang palsu keimanannya akan tertapis pergi.
Yang tinggal hanya yang benar-benar layak mencium syurga.
Dan dalam kalangan manusia berbagai rencah itu, wujud lagi yang tidak berputus asa.
Terus menerus memproses.
Memandang ini sebagai satu perang nafas panjang.
Yang di akhirnya hanyalah kebenaran kepada yang utuh berpegang.
*****
Tahun XXXX, tempat XXXX, waktu XXXX.
Dia meraup wajahnya. Doa penuh khusyuk telah dipanjatkan kepada Rabbnya. Mengambil masa, dia bertafakur seketika. Walau di luar kelihatan tidak melakukan apa-apa, tetapi akal dan jiwanya sedang bekerja. Akal merangka segala jenis formula strategi. Jiwa pula sibuk menjaga hubungan dengan Pemberi Kekuatan di medan nanti.
“Jeneral, pasukan kita telah siap” Dia dipanggil.
Menghela nafas, dia bangkit. Kain khemahnya diselak. Cahaya terang memanah. Dia sedang berdiri menghadap jutaan tentera yang berbaris kemas. Kelihatan pula di satu sudut, gabenor-gabenor wilayah sedang duduk di kerusi masing-masing. Di tengah-tengah mereka, terdapat satu figur yang kelihatan dari luarnya sederhana, tetapi perawakannya menggambarkan karismanya yang tinggi.
Itulah dia Khalifah ummat hari ini.
Dunia telah berubah ke satu ekstensi yang tidak pernah ada yang menjangka. Perubahan sedikit demi sedikit yang berlaku di serata tempat di dunia, membuatkan musuh-musuh tidak menang tangan menguruskannya. Akhirnya wujud beberapa negara yang berjaya ditumbangkan dan dikuasai. Ada yang menggunakan politik, ada pula yang menggunakan tentera.
Tetapi asasnya tetap sama. Ummah dikoreksi terlebih dahulu, sebelum kuasa diambil semula. Terus, masyarakat yang faham menyokong ketua mereka, bersepadu hidup dan mati kerana faham bahawa ini semua untuk syurga Allah di akhirat sana.
Ketua-ketua pula adil dan saksama, membentuk satu kesatuan menghapuskan sempadan sesama negara. Mewujudkan satu kekuatan bernaung di bawah satu nama. Khilafah.
Amirul Mukminin, Sultan tertinggi mengetuai semua orang Islam di dunia, dihidupkan semula. Semua orang Islam bergerak meninggalkan negara mereka dan bernaung di bawah kekuasaan khilafah ini. Mencari kehidupan yang aman bawah sistem peraturan yang ideal dan sempurna. Terlindung dan dibela.
Pembinaan yang dirancang berpuluh-puluh tahun dan digerakkan secara konsisten ini, melahirkan kekuatan yang tidak terjangka. Jika dahulu Amerika terpaksa bersaing dengan Russia untuk menjadi kuasa terbesar dunia, hari ini mereka sedang dihimpit satu kuasa besar yang tiada tandingannya.
Dan hari ini, tanah suci bernama Al-Quds hendak ditawan semula.
Walaupun berkali-kali Amerika merayu agar perjanjian damai yang menjadi solusinya, khalifah tetap berkeras untuk meneruskan ekspedisi perang ini. Tiada lagi yang berani menyelar itu satu tindakan terorisma. Tiada siapa lagi berani mengugut untuk melakukan itu dan ini jika bertindak. Tiada siapa lagi berani menghina dan mencerca.
Israel Zionis juga hilang bicara. Antara ugutan mereka adalah ingin meruntuhkan Al-Aqsa jika Khalifah tetap menyerang juga.
Tetapi Khalifah mengeluarkan kenyataan.
“Ka’bah pernah runtuh dan dibina semula. Kamu hanya akan mampu meruntuhkan bangunan Al-Aqsa dan kami akan membinanya semula.” Keras dan tegas, membawa kepada kegerunan yang tidak terhingga.
“Hari ini, aku sebagai wakil Allah di bumi, dan pewaris Rasulullah untuk zaman ini, akan menjalankan hukuman ke atas kalian wahai kaum kera” Khalifah menutup penyataan tegasnya.
Amerika diberi amaran agar menyertai Israel agar mudah dihapuskan sekaligus, dan nyata Amerika tidak berani berbuat apa-apa melainkan menunggu gilirannya di bumi sendiri sana.
Dia menghela nafas. Dia, jeneral yang akan mengetuai ketumbukan tentera untuk menundukkan Israel hari ini. Dan semua yang berada di hadapannya kini, tidak akan mampu terwujud tanpa usaha penuh perancangan dan konsisten yang dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu.
Satu proses yang dilaksanakan penuh dedikasi dan efisyen.
Dakwah dan Tarbiyyah dalam bentuk pegerakan yang bersistem.
Ibarat anai-anai yang merobohkan almari. Senyap bekerja, dan kesannya menggemparkan jiwa.
Nafas disedut tenang. Dia mengangkat tangan.
“Menuju Al-Quds!”
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Dan teriakan takbir menggempita.
Hujan turun membasahi dunia. Seakan-akan tangisan syukur oleh bumi kerana kembalinya kerajaan khilafah yang bersatu seperti zaman Al-Mu’tasim, dan tentera serta pemimpin yang bersih seperti Salahuddin dan askarnya yang dipimpin.
Kapal terbang, jet pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang armada, bergerak meninggalkan pangkalan.
Dia memandang jauh ke hadapan.
“Wahai Israel, inilah dia suara Tuhanku menyatakan bahawa Dia sentiasa wujud bersama hambaNya. Yang percaya akan bahagia. Yang tidak hanya akan merana”
Rujukan:


PERKONGSIAN 3
By ; www.langitilahi.com

Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita.  ~  picture by screwbald of Deviant Art
Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita. ~ picture by screwbald of Deviant Art

Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.
 Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya. Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak mencritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.
Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok. Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa. 31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita? Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

Hakikat sebuah perjuangan
Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:
“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”
Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.
Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.
Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.
Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.
Apa yang telah kita korbankan?
Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.
Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.
Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam
Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.
Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?
Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?
Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.
Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.
Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.
Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?
Berapa ramai dan berapa ramai?
Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.
Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.
Kita lemah dan tidak berdaya.
Hanya mampu menjerit sahaja.
Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita
Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.
Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.
Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.
Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.
Itulah dia musuh kita.
Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.
Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.
Jalan kemenangan bukan dengan jeritan
Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.
Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?
Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.
Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.
Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.
Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.
Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.
Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?
Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.
Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.
Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?
Siapakah yang berusaha untuk menang ini?
Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?
Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?
Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?
Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.
Zaman itu ada semua itu.
Zaman kita apa yang ada?
Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.
Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.
Kenapa mereka tidak menang?
Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.
Tidakkah kita mengambil pengajaran?
Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.