Saturday, April 3, 2010

Tanda-tanda kelemahan JIWA

Pernahkah kita boros berbelanja hingga kita berbelanja hebat sedangkan sebahagian besar yang kita beli adalah perkara-perkara yang sebenarnya kita tak perlukan? Atau mungkin kita dikuasai amarah hingga kita melupakan persahabatan dan persaudaraan lalu segalanya kita korbankan agar hati kita merasa puas? Pernahkan kita sibuk dalam perkara-perkara yang kurang utama hingga berjam-jam masa kita terbuang begitu sahaja? Pernahkan kita dilanda kekecewaan hingga jiwa kita murung dan hilang keazaman lalu kita biarkan masa berlalu meninggalkan kita bersama kesedihan dan luka-luka pada jiwa? Atau pernahkah kita terlalu gembira hingga kita lupakan batasan-batasan yang akan mengekalkan kewibawaan kita?

Tentunya kita berhak untuk berbelanja setelah bertungkus lumus mengumpul kekayaan. Tentunya kita berhak untuk marah dan kecewa apatah lagi gembira sepuas-puasnya. Tetapi ingat, apabila Allah tiada lagi dijiwa kita dan nilai iman tidak lagi menjadi neraca utama dalam diri kita maka kita sebenarnya sudah menjadi tunggangan nafsu.

Kita tidak lagi memiliki diri kita sendiri dan tidak ada kemiskinan yang lebih parah apabila kita tidak lagi memiliki diri kita sendiri. Jiwa dan nurani kita tidak lagi milik kita apabila kemarahan sudah hilang kawalannya dan segala kegembiraan dan keseronokan kita itu hanya untuk sementara waktu sahaja sedangkan tiba saatnya nanti kita kita akan menangis dan menyesal dengan segala kehidupan yang kita sia-siakan. Ketika tangisan kekecewaan tidak lagi kita sandarkan pada Pemilik Diri kita maka tangisan itu bukan lagi penawar jiwa apatah lagi pengubat hati yang terluka. Bahkan tangisan itu akan membuatkan jiwa kita terus lemah dan silau memandang kehidupan.

Inilah tanda-tanda kelemahan jiwa. Itulah hakikat diri yang hilang arah tuju dan lemah keazamannya. Apabila diri kita bukan lagi milik kita dan kehidupan kita tidak lagi menjanji sesuatu yang akan membahagiakan kita saat kita pulang kepadaNya maka segala kekayaan dan kegembiraan bukan lagi untuk dibanggakan. Tangisan tidak lagi berharga jika tidak dapat membangunkan semula tekad dan keazaman diri hingga kita mampu bangun menongkah arus kehidupan dengan jiwa bertaqwa.

Sebahagiaan besar kekuatan diri kita terletak pada jiwa; jiwa yang dihiasi iman dan taqwa serta jiwa yang mengharapkan redhaNya. Tubuh badan kita hanyalah sarang jiwa bahkan sebahagian penyakit zahir itu adalah tanda parahnya penyakit jiwa. Jika jiwa kita teguh dan kuat maka kita tidak perlu lagi merasa lemah untuk memenrima cabaran dan ujian. Sebahagian besar panglima dan pahlawan yang terdiri dari sahabat-sahabat RA hanyalah bertubuh kecil. Selain dari Khalid Al Walid dan Saidina Umar Radiallahu 'anhuma hampir semuanya memiliki tubuh yang kecil namun dengan kekuatan jiwa yang tertanamkan keyakinan pada janji-janji dan ancaman-ancaman Allah SWT mereka lalu bangun dan mewarnai sejarah kegemilangan Islam dengan berbagai keajaiban.

Digambarkan Barrak Bin Malik RA apabila meluru masuk ke kawasan tentera musuh akan menebas-nebas tentera musuh dengan pedangnya hingga terbentuk lorong manusia dengan mayat bergelimpangan. Ketika peperangan antara tentera Islam dan tentera Musailamah al Kazzab apabila tentera Muasailamah berundur dan berlindung di dalam kota maka al Barraklah yang dilontarkan dengan pelontar batu untuk masuk ke dalam lautan musuh untuk membuka pintu gerbang dari dalam. Mendengarkan kisah ini tentunya kita terbayangkan tubuh badannya yang sasa dan besar tentunya kita terbayangkan watak Canon The babarian atau mungkin The Hulk dan sebagainya tetapi ternyata bayangan kita meleset jauh. Al Barrak hanyalah seorang yang bertubuh kecil tetapi yang hebat dan besar itu adalah jiwanya.


sumber : http://my.opera.com/azmibhr/blog/