Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan dan kita..=)


Assalamualaikum wr. wbt. Apa khabar iman dan segalanya?
selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W Rasul tercinta dan `Ulul Anbiya'..



Debaran semakin kuat menanti kehadiran Ramadhan. Mungkinkah debarannya lebih kuat dari menyaksikan keputusan perlawanan Liverpool dengan Malaysia atau menanti keputusan juara Mari Menari? Sebagai Muslim, kita seharusnya menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa gembira dan lapang jiwa. Gembira dengan kurniaan Allah dan RahmatNya kerana melalui kurniaan dan rahmat Allah di dalam Ramadhan nanti akan mengembalikan kerehatan dan kekuatan serta kecergasan untuk meneruskan perjalanan hidup yang penuh ranjau. 

Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya “حقيقة الصوم” memperingatkan bahawa umat Islam perlu sedar daripada lena mereka dan awas agar puasa tidak menjadi semata-mata penahan lapar dan dahaga sahaja. Juga agar puasa itu tidak hanya menjadi tradisi semata-mata tanpa ‘ubudiyah sebenarnya kepada Allah SWT. Sedangkan puasa itu adalah ibadah dan ‘ubudiyah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Seharusnya kita perlu faham bahawa madrasah Ramadhan pasti memiliki hikmah dan rahsia besar buat umat Islam. Mari kita berfikir sebentar dan memerhatikan beberapa perkara berikut:
• Ketika Allah SWT menjadikan Islam sebagai rahmat buat alam semesta
• Saat Allah SWT menghendaki dari umat Islam menjadi umat terbaik
• Ketika Allah SWT menghendaki agar umat Islam mampu memikul amanah untuk memimpin dunia ini (khalifah)
• Ketika Allah menghendaki agar umat Islam menjadi saksi bagi seluruh umat manusia
• Maka ketika itulah Allah SWT mempersiapkan umat Islam sedemikian rupa, agar umat Islam ini layak menjadi umat yang terbaik, bagaimana untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut?

Jawapannya adalah dengan pembentukan manusia yang bertaqwa. Pembentukan manusia yang bertaqwa inilah yang banyak dilupakan manusia, sehingga ukuran kemajuan atau ukuran kesejahteraan hidup diukur dengan paradigma kebendaan. Lupa bahawa manusia itu bukan hanya dari unsur kebendaan saja, tetapi manusia miliki nurani yang harus diperhatikan, yang harus dibina sehingga mampu untuk menjadi manusia yang terbaik. Oleh kerana itu Ramadhan hadir di tengah-tengah kita dalam rangka untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia ini.

Di dalam bulan Ramadhan banyak sekali kebajikan ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik, manusia yang berkualiti, manusia yang berprestasi. Oleh kerana itu marilah kita berupaya benar-benar memahami puasa itu sebagaimana yang diharapkan Allah SWT.

Ternyata Ramadhan memiliki keberkahan-keberkahan yang luarbiasa buat kita mengutip mutiara di dalamnya. Antara keberkahan yang paling besar untuk kita mengecapnya adalah peningkatan keimanan dan ketinggian taqwa. Insyaallah kita akan dapat saksikan betapa pada bulan ini seorang mukmin itu terlihat sangat kuat keimanannya, hatinya hidup, selalu bermuhasabah, karib dengan Al Quran, sentiasa ke masjid dan sentiasa menjaga pancainderanya. Sudah tentu ini merupakan sebahagian dari pemberian Allah SWT yang dilimpahkan kepada para hamba-Nya. Jika kita merasakan adanya keberkahan ini tentulah kita akan termotivasi dan tergugah semangat kita untuk beribadah, beramal soleh dan merasa nikmat ditarbiyah oleh Ramadhan.

Sesungguhnya hakikat puasa itu adalah untuk mencapai martabat taqwa. Bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dan wasilah (jalan) bagi mencapai ketaqwaan itu bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi proses pengislahan pembersihan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah dan sekaligus meninggalkan segala laranganNya.

Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam “حقيقة الصوم” sekali lagi menjelaskan bahawa ibadah puasa menyediakan jiwa / diri orang-orang yang berpuasa itu untuk bertaqwa kepada Allah dengan meninggalkan keinginan-keinginan yang harus semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah dan mengharapkan ganjaran baik daripada Allah SWT. Dengan itu maka terus terdidik jiwa orang yang berpuasa itu meninggalkan keinginan-keinginan yang diharamkan oleh Allah SWT dengan penuh kesabaran.

Orang Mukmin seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa difardukan bukan untuk menyiksa jiwa dan diri sesiapa, tetapi adalah untuk mentarbiyah (mendidik) dan menyucikan jiwa dan diri orang-orang Mukmin. Disamping itu ia juga memurnikan jiwa dan diri orang-orang Mukmin sehingga melahirkan orang Mukmin yang benar-benar bertaqwa. Kerana itu didapati hikmah “حِكْمَة مَشْرُوعتة الصيام” (hikmah disyariatkan ibadah puasa) disebut oleh Allah s.w.t di dalam al Quran dengan lafaz “ لعلكم تتقون”– semoga anda semua bertaqwa dan tidak disebut “ لعلكم تتألمون “ – semoga kamu menderita atau “ لعلكم تجوعون “ – semoga kamu lapar atau “لعلكم تصحون” - semoga kamu sihat dan sebagainya

Inilah matlamat tertinggi tarbiyah Ramadhan, melahirkan mukmin yang bertaqwa. Kenapa perlu kita berusaha berpuasa sehingga terbangun peribadi yang bertaqwa? Firman Allah SWT dalam ayat 36 Surah at Taubah :

Maksudnya : “ Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa bersama orang-orang yang bertaqwa. “

Dan firman Allah s.w.t lagi dalam ayat 17 Surah at Thuur :

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu beada di dalam syurga dan nikmat (Allah SWT) “

Dan firman Allah lagi dalam ayat 7 Surah at Taubah:

Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah SWT amat cinta kepada orang-orang yang bertaqwa. “

Subhanallah, ternyata tarbiyah Ramadhan adalah kunci melahirkan umat mukmin yang kuat, kuat keimanannya dan tinggi ketaqwaannya. Dr. Muhammad al Bahi ada menjelaskan bahawa kekuatan manusia bukan semata-mata terletak pada kekuatan anggota-anggota zahir tubuh badannya, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada kekuatan azamnya, kekuatan ruhnya dan kekuatan Imannya yang insyaAllah mampu menghadapi dan mengatasi berbagai kejadian dan masalah hidup tanpa lemah semangat dan tidak berputus asa.

Seharusnya disedari bahawa kekuatan Iman dan Taqwa itu bukan sekadar untuk kepuasan dan kelazatan diri sendiri, bahkah orang Mukmin yang memiliki kekuatan Iman dan Taqwa itu sedia mewakafkan hidupnya untuk berkhidmat, mendidik dan berbakti kepada Islam, mengajak masyarakat kembali kepada دين الله (Agama Allah) dengan penuh keimanan dan kesabaran. 

Semoga Ramadhan kali ini akan mengobarkan semangat kita beramal bersungguh-sungguh demi meraih Iman dan Taqwa!


sumber

Monday, July 11, 2011

Lemah Iman, Syaitan menguasai diri..


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,Tuhan sekalian alam..Selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W dengan kalimah " Allahumma Solli 'ala Muhammad", Apa Khabar iman dan segalanya? di sini hajat berkongsi dengan kalian satu artikel penggugah jiwa..moga bermanfaat..
sumber :http://usrahkeluarga.blogspot.com/2011/06/lemah-iman-bererti-kuatnya-empayar.html 
Dalam satu sesi ceramah penulis, ada seorang peserta bertanyakan persoalan luarbiasa, bagaimana melawan syaitan dari menggoda kami supaya suka kepada kemaksiatan? Penulis memuji peserta ini. Kenapa? Kerana dia kenal musuhnya, syaitan. Masalah kita hari ini tidak kenal musuh kita, malahan kita berkawan pula dengan musuh kita. Kita jadikan musuh kita sebagai kawan dan teman akrab. Pelikkan, tapi itulah yang terjadi saat ini.


Syaitan selalu mengajakku berbuat yang membahayakan diriku
Memperbanyakkan penyakit dan menambahkan deritaku
Bagaimana aku mampu mensiat-siatkan musuhku ini
Sedangkan ia berada di dalam hatiku


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu?, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antaramu. Maka apakah kamu tidak memikirkan? (Yaasiin :60-61)

Memang tugas syaitan adalah untuk menyesatkan manusia. Itu janji mereka kepada Allah SWT, dan Allah SWT mengizinkan syaitan melakukan kerja terkutuk mereka. Maka kita kena faham bahawa syaitan itu benar-benar ada dan menyertai kehidupan kita sejak lahir. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorangpun di antara kamu melainkan telah dijadikan untuknya pendamping dari syaitan. “ Para sahabat bertanya, “Apakah Engkau juga wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “ Ya, hanya sanya Allah telah menolongku dan tidak memerintahkanku kecuali kepada kebaikan.”

Dari hadith ini kita akan faham bahawa kita perlu berwaspada terhadap bisikan-bisikan syaitan. Kerana syaitan sentiasa dekat dengan kita dan berusaha menyesatkan kita. Keduanya, tidak ada cara lain untuk berhadapan dengan syaitan melainkan mengharapkan pertolongan dari Allah SWT. Justeru kita harus melakukan amal yang dapat mengundang pertolongan Allah SWT yang akan dapat menyelamatkan kita dari bisikan-bisikan syaitan.

Zikir adalah antara amal perbuatan yang dapat mengundang pertolongan Allah SWT dan mengusir bisikan-bisikan syaitan. Rasulullah SAW ada bersabda:

“Sesungguhnya syaitan meletakkan penutupnya pada hati anak Adam. Jika ia melakukan zikrullah maka ia akan lari. Jika ia melupakan Allah, maka syaitan akan menguasai hatinya.” (HR Abu Ya’la)

Rasulullah SAW juga mengajar kepada kita agar jangan memuji syaitan atau sesekali mengangkat imej syaitan. Terkadang, secara berseleroh, kita melawak dengan mengatakan, apa nak buat..ini semua kerja syaitan,,kami ni mangsa pengaruh syaitan, atau kita menyebut “Celaka syaitan.”

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW terjatuh dari atas keldai baginda, seorang sahabat yang menunggang di belakang berkata, “Celaka syaitan.” Lalu Nabi SAW bersabda:

“Kamu jangan berkata “Celakalah syaitan.” Kerana apabila kamu berkata sedemikian, maka syaitan akan merasa sombong dan berseloroh “Dengan kekuatanku aku telah menjatuhkannya.” Sebaliknya apabila kamu mengucapkan “Bismillah” maka ia akan menjadi kerdil hingga seperti seekor lalat, dah mudah dikalahkan.” (HR Ahmad)

Solusi terbaik untuk kita menghindar bisikan syaitan adalah kita perlu mewajibkan diri kita melaksanakan seluruh perintah Allah SWT. Sesungguhnya ketaatan kepada Allah dan hukum-hukum Allah akan mendekatkan kita kepada Allah dan pertolongan-Nya. Sedangkan melanggari perintah Allah akan menguatkan pengaruh syaitan ke atas kita dan meleraikan hubungan kita dengan Allah SWT. Kefahaman ini akan membezakan kita di antara bisikan dan cara hidup syaitan atau pengaruh iman dan cara hidup keimanan yang memandu kita. Tatkala ada bisikan yang mengajak kita kepada kemaksiatan, pasti ianya datang dari syaitan. Maka bersegeralah istighfar dan zikrullah. Bersegeralah memohon kekuatan dan pertolongan dari Allah SWT.

Yang terakhir, penulis berpesan kepada diri penulis dan anda semua, jagalah hati dan jiwa kita. Binalah jiwa yang dihiasi nilai iman dan ketaqwaan yang tinggi. Berilah makan jiwa dan hati kita dengan makanan iman. Iman sahaja yang mampu membentuk kekuatan melawan bisikan-bisikan syaitan. Lemah iman bererti kuatnya empayar syaitan.


Bagaimana mahu memiliki jiwa dan iman yang kuat. Rasulullah SAW menganjurkan kepada kita agar berdoa dan memohon kekuatan kepada Allah SWT.

“Ya Allah! Berikan kepada jiwaku ketaqwaan, sucikanlah ia kerana sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik Dzat yang menyucikannya, Engkau adalah penolong dan pembelanya.” (HR Muslim)

Dalam hadith ini, ada 3 kompenen penting yang perlu kita laksanakan untuk membina jiwa yang kuat dengan keimanan. Pertama doa kepada Allah agar dianugerahkan jiwa yang bertaqwa. Kita perlu bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita perlu menyerahkan diri kita kepada Allah semata. Justeru kehidupan dan matlamat kehidupan kita mestilah hanya sanya kerana Allah. Tidak yang lain. Taqwa hanya akan lahir setelah kita miliki kejelasan matlamat kehidupan, ubudiyyah (penghambaan) hanya kepada Allah SWT dalam seluruh kehidupan. Jangan hanya beriman saat kita susah, saat kita sakit, saat kita telah dirasuk syaitan dan iblis, baru kita mahu mencari Allah! Maka taqwa tidak akan lahir.

“Dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (An-Nuur:52)


Keduanya jiwa dan hati perlu dibersihkan. Bersihkan mestilah dari sumber yang bersih, Al Quran dan pesanan-pesanan dari Rasulullah SAW. Kita nak bersihkan apa? Bersihkan dari kekotoran maksiat dan penyakit hati yang menyelaputi hati. Banyak kaedah dan cara yang diajarkan oleh rasulullah SAW kepadfa kita untuk membersihkan hati. Bacalah buku-buku tulisan ulama muktabar seperti Iman al Ghazali, Imam Jauzi, Ibnu Taimiyah, Syeikh Said Hawwa dan ramai lagi, bagaimana kita boleh melaksanakan proses tazkiyatun Nafs. Firman Allah SWT:

“Beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwanya. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorkan jiwanya.” (ASy-Syams: 9-10)

Ketiganya, jangan berhenti dan berputus asa untuk sentiasa memohon perlindungan dan pertolongan dari Allah SWT. Seorang ulama ada berkata:

Sebab hakiki terjerumusnya seorang muslim ke dalam maksiat bukanlah kerana rosaknya niat, menangnya syahwat atau kuatnya syaitan. Tetapi kerana penjagaan Allah telah dicabut ke atas dirinya, sehingga jiwanya menjadi lemah dan akhirnya kalah oleh dorongan syahwat dan godaan syaitan.”

Dalam kalimah akhir penulis kepada para peserta ini, penulis mengajak mereka agar berusaha menghadirkan diri dalam halaqah-halaqah tarbawiyah. Alhamdulillah pengalaman penulis sendiri semenjak mengikuti halaqah tarbiyah dari zaman kampus sehinggalah saat ini, sudah berkerjaya dan berkeluarga, halaqah tarbiyah dapat membantu meningkatkan momentum ghairah membina iman dan taqwa.

Semoga kita semakin kenal musuh kita, dan semoga kita faham formula dan jalan keluar untuk kita tetap istiqamah mengekalkan keimanan kita dan melaksanakan kehidupan kita dengan kekuatan iman dan taqwa. Bangkitkan kembali ghirah iman demi mempertahankan hati kita dari bisikan syaitan.!

Kesimpulan dari CircleofLife : Iman itu memang sifatnya naik dan turun, tetapi sebagai seorang mukmin kita tidak boleh membiarkan iman terus jatuh dan kita terus lemah, carilah segi-segi kebijaksanaan sekeliling yang dapat meningkatkan momentum Iman kita..mg Allah kasih..

Wednesday, July 6, 2011

~::Hubungan hati dengan Allah::~

  

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..
Allahumma solii 'ala muhammad..


Entah kenapa..masalah hati sering bertamu sejak akhir-akhir ini...sedikit perkongsian yang membuatkan air mata bercucuran laju..Terima Kasih Allah.., diambil dari
http://abumuazfamili.blogspot.com/2008/11/hubungan-hati-dengan-allah-swt.html


 Satu perkara yang paling utama, yang sentiasa diperingatkan oleh para anbiya’, khulafa ar-Rashidin dan orang-orang yang soleh pada semua keadaan ialah supaya pengikut-pengikut mereka bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Menyemarakkan hati sanubari mereka dengan kecintaan dan taqarrub kepada-Nya dengan melakukan ketaatan dan ibadah kepada-Nya. Tidak syak lagi, inilah perkara yang mesti diutamakan daripada perkara-perkara yang lain.

Beriman dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala adalah persoalan yang paling pokok dalam aqidah. Berhubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan bertaqarrub dengan-Nya mendahului persoalan-persoalan yang lain dalam ibadah. Takut kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala apabila bersendirian di tempat sunyi dan juga ketika di khalayak ramai mendahului perkara lain dalam akhlak, muamalat dan amalan. Segala usaha kita tidak mungkin berhasil kecuali setelah kita mengembalikan hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kuat atau lemahnya kita adalah bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kita menjadi kuat apabila hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kuat, dan kita lemah apabila hubungan kita dengan-Nya lemah.

MAKNA HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Hubungan manusia dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, mengikut keterangan Al-Quran Al-Karim bermaksud supaya manusia menjadikan hidup, mati, solah dan segala ibadah semata-mata untuk-Nya.


 “Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”


 [Al-Anaam: 162]

Hendaklah seseorang itu menyembah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan penuh keikhlasan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berulang kali menerangkan pengertian hubungan hamba dengan Rabbnya sehingga tiada setitik debupun yang menutupi pengertian ini. Jadi, mengertilah kita akan hakikat hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala iaitu:


“Takut akan Allah di tempat sunyi dan tempat yang terang.” [Hadith]


“Hendaklah engkau yakini bahawa yang ditangan Allah itu lebih terjamin daripada apa yang ada di tangan engkau.” [Hadith]

“Hendaklah engkau menuntut keredhaan Allah dengan kemarahan manusia.” [Hadith]



Kita tidak pula mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Setelah terjalin rapi hubungan ini, kecintaan seseorang, perseteruan, pemberian dan tegahannya semuanya demi Allah Subha Nahu Wa Ta’ala semata-mata tanpa dicemari oleh tujuan-tujuan lain. Inilah pengertian kesempurnaan hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

“Sesiapa yang cintakan Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, sesungguhnya telah sempurnalah imannya.” [Hadith]

Kemudian hendaklah saudara memperbaharui do’a saudara pada tiap-tiap malam dalam rakaat terakhir solah witir saudara. Tidakkah saudara sering ucapkan:-

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami minta pertolongan daripada Engkau, minta hidayat daripada Engkau, beristighfar kepada Engkau, beriman kepada Engkau dan bertawakkal kepada Engkau. Kami memuji kepada Engkau atas kebaikan, kami berterima kasih dan tidak kufur kepada Engkau, kami menyingkir dan menjauhkan sesiapa yang derhakakan Engkau. Ya Allah, Dikaulah yang kami sembah dan akan Dikaulah kami sembahyang dan sujud, kepada Engkaulah kami berusaha dan maju. Kami mengharapkan rahmat Engkau, kami takut akan azab Engkau. Sesungguhnya azab Engkau tetap menimpa orang-orang kafir.”

Hendaklah saudara merenungi maksud do’a ini. Apakah setiap daripada malam-malam saudara membenarkan dan mempersetujui ikatan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala? Sudah terukir gambaran hubungan ini dalam doa yang dilafazkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila baginda bangun mengerjakan sembahyang di tengah malam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa menyebut doa berikut ini, bermunajat dengan Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Tinggi:-
“Ya Allah, Ya Tuhanku, kepada Engkaulah aku berserah, dengan Engkaulah aku beriman, di atas Engkaulah aku bertaubat, kepada Engkaulah aku kembali, bersama Engkaulah aku bermusuh dan kehadapan Engkaulah aku berbicara.”



Wallahu'alam..moga ALLAH kasih selalu=)