Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan dan kita..=)


Assalamualaikum wr. wbt. Apa khabar iman dan segalanya?
selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W Rasul tercinta dan `Ulul Anbiya'..



Debaran semakin kuat menanti kehadiran Ramadhan. Mungkinkah debarannya lebih kuat dari menyaksikan keputusan perlawanan Liverpool dengan Malaysia atau menanti keputusan juara Mari Menari? Sebagai Muslim, kita seharusnya menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa gembira dan lapang jiwa. Gembira dengan kurniaan Allah dan RahmatNya kerana melalui kurniaan dan rahmat Allah di dalam Ramadhan nanti akan mengembalikan kerehatan dan kekuatan serta kecergasan untuk meneruskan perjalanan hidup yang penuh ranjau. 

Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya “حقيقة الصوم” memperingatkan bahawa umat Islam perlu sedar daripada lena mereka dan awas agar puasa tidak menjadi semata-mata penahan lapar dan dahaga sahaja. Juga agar puasa itu tidak hanya menjadi tradisi semata-mata tanpa ‘ubudiyah sebenarnya kepada Allah SWT. Sedangkan puasa itu adalah ibadah dan ‘ubudiyah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Seharusnya kita perlu faham bahawa madrasah Ramadhan pasti memiliki hikmah dan rahsia besar buat umat Islam. Mari kita berfikir sebentar dan memerhatikan beberapa perkara berikut:
• Ketika Allah SWT menjadikan Islam sebagai rahmat buat alam semesta
• Saat Allah SWT menghendaki dari umat Islam menjadi umat terbaik
• Ketika Allah SWT menghendaki agar umat Islam mampu memikul amanah untuk memimpin dunia ini (khalifah)
• Ketika Allah menghendaki agar umat Islam menjadi saksi bagi seluruh umat manusia
• Maka ketika itulah Allah SWT mempersiapkan umat Islam sedemikian rupa, agar umat Islam ini layak menjadi umat yang terbaik, bagaimana untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut?

Jawapannya adalah dengan pembentukan manusia yang bertaqwa. Pembentukan manusia yang bertaqwa inilah yang banyak dilupakan manusia, sehingga ukuran kemajuan atau ukuran kesejahteraan hidup diukur dengan paradigma kebendaan. Lupa bahawa manusia itu bukan hanya dari unsur kebendaan saja, tetapi manusia miliki nurani yang harus diperhatikan, yang harus dibina sehingga mampu untuk menjadi manusia yang terbaik. Oleh kerana itu Ramadhan hadir di tengah-tengah kita dalam rangka untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia ini.

Di dalam bulan Ramadhan banyak sekali kebajikan ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik, manusia yang berkualiti, manusia yang berprestasi. Oleh kerana itu marilah kita berupaya benar-benar memahami puasa itu sebagaimana yang diharapkan Allah SWT.

Ternyata Ramadhan memiliki keberkahan-keberkahan yang luarbiasa buat kita mengutip mutiara di dalamnya. Antara keberkahan yang paling besar untuk kita mengecapnya adalah peningkatan keimanan dan ketinggian taqwa. Insyaallah kita akan dapat saksikan betapa pada bulan ini seorang mukmin itu terlihat sangat kuat keimanannya, hatinya hidup, selalu bermuhasabah, karib dengan Al Quran, sentiasa ke masjid dan sentiasa menjaga pancainderanya. Sudah tentu ini merupakan sebahagian dari pemberian Allah SWT yang dilimpahkan kepada para hamba-Nya. Jika kita merasakan adanya keberkahan ini tentulah kita akan termotivasi dan tergugah semangat kita untuk beribadah, beramal soleh dan merasa nikmat ditarbiyah oleh Ramadhan.

Sesungguhnya hakikat puasa itu adalah untuk mencapai martabat taqwa. Bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dan wasilah (jalan) bagi mencapai ketaqwaan itu bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi proses pengislahan pembersihan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah dan sekaligus meninggalkan segala laranganNya.

Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam “حقيقة الصوم” sekali lagi menjelaskan bahawa ibadah puasa menyediakan jiwa / diri orang-orang yang berpuasa itu untuk bertaqwa kepada Allah dengan meninggalkan keinginan-keinginan yang harus semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah dan mengharapkan ganjaran baik daripada Allah SWT. Dengan itu maka terus terdidik jiwa orang yang berpuasa itu meninggalkan keinginan-keinginan yang diharamkan oleh Allah SWT dengan penuh kesabaran.

Orang Mukmin seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa difardukan bukan untuk menyiksa jiwa dan diri sesiapa, tetapi adalah untuk mentarbiyah (mendidik) dan menyucikan jiwa dan diri orang-orang Mukmin. Disamping itu ia juga memurnikan jiwa dan diri orang-orang Mukmin sehingga melahirkan orang Mukmin yang benar-benar bertaqwa. Kerana itu didapati hikmah “حِكْمَة مَشْرُوعتة الصيام” (hikmah disyariatkan ibadah puasa) disebut oleh Allah s.w.t di dalam al Quran dengan lafaz “ لعلكم تتقون”– semoga anda semua bertaqwa dan tidak disebut “ لعلكم تتألمون “ – semoga kamu menderita atau “ لعلكم تجوعون “ – semoga kamu lapar atau “لعلكم تصحون” - semoga kamu sihat dan sebagainya

Inilah matlamat tertinggi tarbiyah Ramadhan, melahirkan mukmin yang bertaqwa. Kenapa perlu kita berusaha berpuasa sehingga terbangun peribadi yang bertaqwa? Firman Allah SWT dalam ayat 36 Surah at Taubah :

Maksudnya : “ Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa bersama orang-orang yang bertaqwa. “

Dan firman Allah s.w.t lagi dalam ayat 17 Surah at Thuur :

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu beada di dalam syurga dan nikmat (Allah SWT) “

Dan firman Allah lagi dalam ayat 7 Surah at Taubah:

Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah SWT amat cinta kepada orang-orang yang bertaqwa. “

Subhanallah, ternyata tarbiyah Ramadhan adalah kunci melahirkan umat mukmin yang kuat, kuat keimanannya dan tinggi ketaqwaannya. Dr. Muhammad al Bahi ada menjelaskan bahawa kekuatan manusia bukan semata-mata terletak pada kekuatan anggota-anggota zahir tubuh badannya, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada kekuatan azamnya, kekuatan ruhnya dan kekuatan Imannya yang insyaAllah mampu menghadapi dan mengatasi berbagai kejadian dan masalah hidup tanpa lemah semangat dan tidak berputus asa.

Seharusnya disedari bahawa kekuatan Iman dan Taqwa itu bukan sekadar untuk kepuasan dan kelazatan diri sendiri, bahkah orang Mukmin yang memiliki kekuatan Iman dan Taqwa itu sedia mewakafkan hidupnya untuk berkhidmat, mendidik dan berbakti kepada Islam, mengajak masyarakat kembali kepada دين الله (Agama Allah) dengan penuh keimanan dan kesabaran. 

Semoga Ramadhan kali ini akan mengobarkan semangat kita beramal bersungguh-sungguh demi meraih Iman dan Taqwa!


sumber

0 comments: