Sunday, July 4, 2010

perkongsian :Kenapa Jiwa Lemah

Salam perjuangan dan mujahadah buat semua. Semoga REDHA ALLAH sentiasa mengiringi kita semua, iAllah.  Hajat doa bersama.  Disini ada sedikit perkongsian dari seorang murabbi,moga kita mendapat manfaat bersama...

 http://my.opera.com/azmanuhaa/blog/



Setiap dari kita tentunya pernah melalui hari-hari baru dengan penuh kegelisahan dan keraguan. Tentunya ada hari-hari dimana jiwa kita terasa lemah dan payah untuk bangun dan menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan.

Inilah sebenarnya hakikat diri kita. Lemah, serba kekurangan, tidak berdaya dan sentiasa memerlukan pergantungan kepada yang lebih kuat dan agung. Mungkin persoalannya; pada siapa kita sandarkan harapan kita, pada siapa kita tujukan segala keluhan dan keresahan jiwa kita dan pada siapa kita menagih simpati dan pertolongan. Di dalam beberapa tempat di dalam al Quran, Allah menggambarkan bahawa manusia ini memang lemah. Ya, kerana kelemahan itulah salah satu sifat sebagai hamba. Kita adalah HAMBA ALLAH yang sentiasa memerlukan taufiq dan hidayahNya.

Oleh itu kelemahan jiwa bukanlah penyakit yang sebenar tetapi simtom atau tanda bahawa hati kita sedang lemah pergantungannya kepada Allah SWT. Ada juga manusia yang cuba keluar dari sangkar kelemahan ini dengan cara yang salah lalu dibangunkan empayar kekuasaan dan kekayaannya, ditakluki pangkat dan dunia hingga dia memiliki segal-galanya. Dan benar, dia memiliki segala-galanya kecuali ketenangan, lapang dada, rasa aman, lapang dan cukup dengan apa yang dimilikinya.

Seorang Atheis berkata "Beriman pada tuhan adalah tanda kelemahan jiwa, bahkan manusia sebenarnya lebih hebat" lalu slogan inilah yang dijadikan sebagai dasar peradaban barat. Di atas dasar inilah gereja-geraja dipisahkan dari pengurusan dan pentadbiran kehidupan manusia lalu apa yang terjadi sekarang. Adakah mereka benar-benar berbahagia? Ya, memang mereka berbahagia lalu terbina banyak 'rumah-rumah bahagia' untuk mereka yang terselamat dari bunuh diri, pengambilan arak dan dadah berlebihan dan sebagainya.

Hari ini Steven Covey dan banyak lagi pakar-pakar jiwa mereka mula kembali kepada ketuhanan lalu digembar gemburkan SQ (Spiritual Quation) dan umat Islampun ada yang kagum seolah-olahnya SQ perkara baru yang tak pernah diperkenalkan oleh Islam.

Oleh itu pangkal bagi segala kelemahan jiwa ialah lemahnya pergantungan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Saya yakin semua kita bersetuju dengan penyataan ini, cuma bagaimana kita menterjemahkan konsep ini secara amali?

Setiap kali ditanya tentang keikhlasan, kekuatan jiwa dan sebagainya saya sering mulakan jawapan saya dengan membezakan antara proses dan natijah (hasil).

Iman adalah natijah, keikhlasan juga natijah dan begitu juga dengan kekuatan jiwa, keteguhan hati, iltizam, jiddiyyah, keyakinan pada janji dan pertolongan Allah, ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya. semua itu adalah natijah. Semua natijah ini tidak akan kita perolehi dengan doa-doa kita, munajat kita disepanjang malam atau tangisan-tangisan kita.

Saya sering berkata kepada orang yang bertanya tentang masalah hati, iman lemah dan sebagainya; "Kalau kita rasa hati kita atau iman kita lemah kita perlu lakukan sesuatu supaya hati atau iman kita kembali kuat dan bertenaga. Menyelesaikan masalah hati atau iman bukan macam mengarang sajak.... kita duduk termenung dan berfikir kenapa jiwa kita lemah, iman lemah dan sebagainya tetapi kita perlu cari bagaimana kita nak rawat hati kita. Bukalah lembaran-lembaran sirah....sahabat-sahabat Rasul pun pernah rasa lemah bahkan ada yang merasakan diri mereka munafik, LALU APA YANG MEREKA LAKUKAN? Rasulullah SAW pun pernah tertekan dan mengharungi hari-hari yang payah, LALU APA YANG BAGINDA RASULULLAH SAW LAKUKAN? Begitu juga ulamak-ulamak muktabar, mereka juga manusia biasa yang kadang-kadang merasa silau dan lemah memandang kehidupan LALU APA YANG MEREKA LAKUKAN? Bukankah inilah tujuan kita mendalami dan mempelajari sirah Rasulullah SAW, sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak muktabar? bahkan Al Quran merakamkan pelbagai kisah tentangan, ujian dan musibah beserta rawatan dan penyelesaiannya. Oleh itu kita perlu memahami setiap masalah dengan pandangan yang benar dan dari kefahaman yang benar-benar kita bina dengan proses yang betul."

Menangisi natijah yang tidak memenuhi citarasa kita tidak akan menghasilkan apa-apa. Katakan kita terasa sangat sejuk, lalu kitapun berlagu sedih mengadukan kesejukan kita, atau kita berzikir tiga ribu tiga ratus kali; PANAS.... PANAS kita akan tetap sejuk hinggalah kita bangun dan capai kain selimut lalu kita baluti tubuh kita dengan selimut tersebut maka segala kesejukan itu akan sirna.

Oleh itu kita perlu benar-benar jelasmana natijahnya dan yang mana pula prosesnya. Keikhlasan, keteguhan jiwa, ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya adalah natijah dari Iman. Iman juga natijah; iaitu natijah dari proses pembinaan Iman yang betul melalui proses yang betul serta betul pula sumbaer-sumber pembinaannya. Betul proses dan sumber juga natijah dari manhaj atau sistem pendidikan yang betul. Manhaj, kurikulum atau sistem tarbiyyah yang betul juga natijah????



Tentu ada yang semakin pening jadi saya ingin ringkaskan sebagaimana yang diringkaskan oleh ulamak-ulamak. Untuk menyelesaikan semua masalah kehidupan kita memerlukan 3 perkara:

1. Manhaj Salimah:

Kita perlu mencari satu sistem tarbiyyah yang betul dan menepati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Untuk mengukur kebenaran manhaj atau sistem tarbiyyah ini, kita sendiri perlu mengorbankan masa untuk mendalami sirah, buku-buku yang ditulis oleh ulamak-ulamak muktabar supaya kita ada satu gambaran sistem tarbiiyah yang benar yang boleh kita jadikan sebagai tolok ukur untuk menetukan kebenaran suatu sistem pendidikan atau manhaj tarbiyyah.

2. Murabbi Mithali:

Kita perlu mencari seorang yang benar-benar ikhlas unhtuk mendidik dan menghubungkan hati kita pada Allah SWT. Kata Ramadhan Al Buti pendidik yang sejati ini tidak akan mengikat kita pandangan peribadi mereka, atau jemaah atau parti atau persatuan mereka. Mereka akan menghubungkan hati kita pada sumber-sumber yang bersih yang boleh memberi kita gambaran Iman atau Keislaman yang benar. Saya tidak katakan berjemaah, berparti atau bepersatuan itu salah tetapi jemaah itu tidak dijadikan sebagai ghayaah atau matlamat tarbiyyah hingga semua perancangan,tindakan agenda tarbiyyah begitu terbatas dan penuh dengan sentimen-sentimen yang tumbuh bukan keranan rangsangan iman.

3. Bi'ah Solehah:

Kita perlu mencari satu persatuan atau jemaah atau sekelompok manusia yang berakhlaq dengan akhlaq Islam, sentiasa cuba memahami Islam dengan kefahaman yang betul. Fakta ini tidak bercanggah dengan fakta kedua kerana yang saya maksudkan berakhlaq Islam ini bertentangan dengan akhlaq jemaah atau persatuan parti dan sebagainya. Ukhuwah yang terbina kerana iman bukan kerana satu parti atau jemaah. Kita tidak mahu ada yang bersaudara kerana satu jemaah apabila kita tumpang hadir program tarbiyyah dari jemaah lain lalu kita kata mereka dan engkar atau tidak tsiqah atau patuh pada jemaah. Saya juga tidak maksudkan kita tak perlu komitted pada satu jemaah tetapi dalam membina kefahaman, menetukan jemaah atau manhaj tarbiyyah yang betul kita perlukan masa dan keterbukaan. Sampai masanya apabila kta temui satu manhaj yang menpati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW lalu kita setia dan menjadi pendokongnya. Berapa lama? Bergantung pada setiap individu. Dan apa yang saya maksudkan dengan akhlaq islam ini adalah amali kehidupan yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai Qudwah. Kita tidak mahu dimulut atau dalam ceramah berapi-api kita mengajak manusia kepada Islam dan mencotohi Rasulullah SAW tetapi masih terikat dengan riba, pergaulan tanpa kawalan, umpat sana-umpat sini, ampu sana ampu sini dan sebagainya.

Kerana saya menyentuh persoalan jemaah saya yakin ada yang tidak selesa. Untuk itu saya memohon maaf pada semua dan memohon keampunan Allah SWT. Saya sekadar ingin memberi gambaran umum dan perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih mendalam untuk lebih jelas. Tetapi biarlah perbincangan itu kerana mencari redha Allah SWT.

0 comments: