Thursday, November 26, 2009




~ HALAQOH C.I.N.T.A INI ~

Berdiri kita di kaki pelangi,
Merenda awan - gemawan sunnah,
Bertapakkan madrasah rasulullah,
Menjejak kental fardhi muslim,
Dalam misi penuh padu dan menyatu.
Menuntut erti ruh,
sebuah bahtera kemenangan.

Sahibah,
Wajahmu sesejuk telaga kauthar,
Dalam erat kita bersimpuh,
Menadah hati hingga lebur,
Bawalah lilin itu ke dada,
Agar terang nur nya…,
Bisa menerobos kedasar langit.
Bersuluhkan ilham wahyu al - Quddus

Sahibah,
Terpukau hati terpesona,
Bukan dengan sihir atau tabarruj,
Tapi dek kalammu yang menyejukkan,
Laksana air dari negeri syurgawi.
Bak bayu lembut dari Tamanan Adnin,
Dan kita menata hati,
Nyahkan karat – karat jahiliyyah,
Bersama memintal istimror,
Denyutkan thabat di dalam hati
Kerna kerja ini Maha payah.

Halaqoh ini,
Tertegak di atas manhaj Rabbani
Tinggikanlah Islam di dalam diri,
Kan melatalah Deen ke pelusuk bumi.
Berkunjung ke rumah – rumah Cinta
Memaknai sebuah baitul dakwah,
Menganyam mujtama' muslim di benang – benang tarbiyyah,
Bercerminkan sejernih fikrah,
rindukan khilafah,
Ah, indah….

Halaqoh cinta kita,
Biarkan mekar di Taman Islami,
Kita genggam warkah ` kekasih'
Dalam diari amal risalah sunnah,
Carilah jiwa dihujung muhasabah
Kerna dalam hatiku ada dirimu,
Dalam hatimu maujudnya aku,
Biar angin dan rerumput menjadi saksi,
Kita pernah berkasih kerana Ilahi,
Dan sering mengucapkan cinta pada jalan getir para Nabi,
Moga kita nantinya dipayungi dengan naungan Rahmat Rabbi,
Kau dan aku pastikan tersenyum selamanya,
Saat Mendengar kalamNya yang mulia
" Wahai jiwa yang tenang ! "
"Kembalilah kepada TuhanMu dengan rida dan diridhaiNya "
"maka masuklah ke dalam golongan hamba – hamba KU"
" dan masuklah ke dalam JannahKu.."

Amen…

~ Farhana Hidayah ~
ummul_barakah85@ yahoo.com

0 comments: